Ramai tak tahu, rupanya ini maksud sebenar 8 warna baju yang dipakai banduan dalam penjara. Umum sedia maklum, penjara adalah tempat di mana pesalah disabitkan hukuman oleh pihak mahkamah.
Penjara juga berfungsi sebagai institusi penahanan dan pemulihan yang memiliki jentera serta sumber manusia berkualiti untuk melaksanakan visi, misi, dan objektif yang telah ditetapkan.
Di dalam penjara, banduan akan mengenakan pakaian mengikut warna atau ‘kod’ tertentu. Namun, adakah anda tahu apa maksud di sebalik warna-warna pakaian yang dipakai oleh banduan? Jom kami kongsikan.
1. Oren
Baju berwarna oren bermaksud masih belum dikategorikan banduan. Ia merupakan baju lokap untuk mereka yang ditahan dan masih dibawah seliaan polis sepenuhnya.
2. Ungu
Untuk baju berwarna ungu pula, ia bermaksud untuk tahanan reman. Di mana orang kena tuduh (OKT) yang sedang menjalani proses perbicaraan mahkamah.
3. Putih
Baju berwarna putih pula bermaksud untuk banduan yang menjalani hukuman singkat, iaitu kurang dari enam bulan, atas pelbagai kesalahan yang disabitkan oleh mahkamah. Mereka juga perlu mengikuti program kesedaran dan pemulihan oleh Jabatan Penjara Malaysia sebelum dibebaskan.
4. Merah
Seterusnya untuk baju berwarna merah adalah warna baju peringkat pertama atau dipanggil ‘kolar merah’ ialah untuk penghuni penjara yang menjalani hukuman lama (6 bulan ke atas). Mereka akan dipakaikan selama tiga bulan dan kemudian akan ditukarkan kepada warna lain.
5. Hijau
“Kolar hijau” adalah peringkat kedua yang dipakai selepas banduan menjalani hukuman selama 3 bulan hingga 18 bulan (1 tahun dan 6 bulan) di penjara. Mereka akan mengikuti program PPI, iaitu pengukuhan sahsiah yang merangkumi pembelajaran agama dan terapi kemasyarakatan.
6. Biru
Bagi peringkat ‘kolar biru’ pula, ia adalah mereka yang telah menghuni lebih 18 bulan di penjara. Mereka telah menghabiskan fasa pembelajaran PPI dan layak untuk bekerja di bengkel-bengkel yang disediakan di dalam penjara.
7. Hijau terang atau hijau florescent
Untuk baju berwarna hijau terang atau hijau florescent ini, ia merujuk kepada banduan ‘pra-bebas’. Mereka terdiri daripada penghuni yang mempunyai baki hukuman kurang 3 bulan sebelum dibebaskan.
8. Putih dengan kolar dan lengan merah
Maksud warna baju yang terakhir adalah baju putih dengan lengan merah. Ia boleh dikatakan sebagai peringkat paling ‘menakutkan’ bagi sesiapa saja. Mereka yang memakainya dikategorikan sebagai ‘banduan akhir’ (BA). Mereka adalah penghuni yang sedang dalam proses sama ada untuk menjalani hukuman gantung atau menunggu keputusan mahkamah agung untuk pengurangan hukuman mati kepada hukuman penjara seumur hidup.
Semoga kita semua dijauhkan daripada melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang! 🙂