Ramai boleh buat keluar duit tanpa had lebih RM189 juta ketika bank alami gangguan. Pengguna sebuah bank komersial terbesar di Ethiopia diibaratkan mendapat durian runtuh apabila mereka bebas mengeluarkan jumlah wang yang dikehendaki, berikutan gangguan sistem pada awal pagi Sabtu lalu, seperti yang dilaporkan oleh BBC News pada 18 Mac 2024.
Pelanggan Commercial Bank of Ethiopia (CBE) diberitahu bahawa mereka boleh mengeluarkan wang melebihi baki dalam akaun mereka.
Media tempatan melaporkan lebih dari AS$40 juta (RM189 juta) dikeluarkan atau dipindahkan ke akaun bank lain sebelum CBE berjaya membekukan semua transaksi setelah beberapa jam.
Presiden CBE, Abe Sano, mengatakan bahawa kebanyakan wang itu dikeluarkan oleh penuntut universiti selepas mendengar tentang kejadian tersebut.
“Barisan panjang dapat dilihat di mesin teller automatik (ATM) di beberapa kampus. Mereka berlumba-lumba mengeluarkan wang sehingga polis tiba,” jelas laporan itu lagi.
Salah seorang pelajar dari University Institute of Technology memberitahu bahawa dia tidak percaya apabila dimaklumkan oleh rakannya.
Seorang penuntut dari Dilla University di selatan Addis Ababa berkata bahawa sejumlah rakannya mengeluarkan wang dari ATM antara waktu tengah malam dan 2 pagi (waktu tempatan).
Lebih dari 38 juta merupakan pemegang akaun CBE yang ditubuhkan kira-kira 82 tahun lalu.
Sementara itu, Bank Pusat Ethiopia yang bertindak sebagai badan induk sektor kewangan menjelaskan bahawa ‘gangguan’ itu berlaku semasa aktiviti penyelenggaraan dan pemeriksaan.
Tiga universiti telah mengeluarkan kenyataan meminta penuntut yang terlibat supaya mengembalikan wang yang bukan milik mereka.
“Sesiapa yang memulangkan wang tidak akan didakwa atas kesalahan jenayah,” kata Abe Sano.
Seorang pelajar dari Universiti Jimma berkata bahawa dia tidak mendengar mengenai sesiapa yang memulangkan wang itu, namun menambah, dia melihat kenderaan polis berada di kampus.