Rakyat Johor ternanti-nanti sidang akhbar MB esok

Rakyat Johor ternanti-nanti sidang akhbar MB esok

JOHOR BAHRU – Rakyat negeri ini khususnya para pengundi sedang menanti dengan penuh debar sebarang pengumuman berkenaan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Ini berikutan mula tersebar dakwaan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dikatakan akan mengadakan satu sidang akhbar esok selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO negeri Johor.

Namun, tarikh tepat berhubung pelaksanaan PRN Johor masih menjadi teka-teki tetapi beberapa pihak kelihatan tidak menafikan persiapan sudah digerakkan.

Mengikut makluman yang diterima, mesyuarat UMNO negeri yang bakal diadakan esok akan melibatkan pemimpin tertinggi parti di peringkat negeri dan kesemua 26 ketua bahagian di Johor.

Mesyuarat berkenaan juga dijangka turut membincangkan berhubung pelaksanaan PRN negeri termasuk calon-calon untuk setiap kerusi yang dipertandingkan sebelum Hasni dilaporkan akan mengadakan sidang akhbar selepas itu.

Selain itu, satu sumber memaklumkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga akan berkunjung ke negeri ini dalam waktu terdekat.

Semalam, sebuah portal berita tempatan mendakwa surat permohonan pembubaran DUN oleh Menteri Besar telah dihantar kepada Pejabat Speaker DUN negeri ini.

Menurut laporan portal berkenaan, perkara itu disahkan sumber dalam UMNO sendiri yang turut mendakwa kemungkinan pembubaran DUN Johor akan dibuat Ahad ini.

Laporan itu turut mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah berjumpa Menteri Besar Johor bagi membincangkan persiapan PRN dimana perkara itu telah mendapat perkenan Istana Johor.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat yang memberitahu pihaknya tidak menerima sebarang surat seperti yang didakwa portal berkenaan.

“Tidak, saya tak terima sebarang surat setakat ini. Terima kasih,” ujarnya ringkas.

Semalam, Hasni turut dilaporkan berkata, sekiranya PRN Johor diadakan dalam waktu terdekat ia tidak akan mengganggu urusan pentadbiran dan pelbagai program yang telah dirancang kerajaan negeri termasuk pelbagai inisiatif dalam Belanjawan Johor 2022.

CATEGORIES