Raja Thailand kurangkan hukuman penjara bekas Perdana Menteri Thailand daripada 8 tahun kepada setahun, ini sebabnya. Raja Thailand Maha Vajiralongkorn perkenan mengurangkan hukuman penjara bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra daripada lapan tahun kepada setahun.
Keputusan itu diumumkan menerusi warta istana pada Jumaat, sehari selepas Thaksin mengemukakan permohonan pengampunan diraja.
Selepas kembali daripada kehidupan dalam buangan selama 15 tahun minggu lalu, Thaksin dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun atas kesalahan konflik kepentingan dan salah guna kuasa semasa memerintah.
Thaksin, 74 tahun, dipindahkan dari penjara ke hospital pada malam pertama ditahan susulan kebimbangan berhubung tekanan darah dan sakit dada.
Menurut warta istana tersebut, Thaksin disifatkan “telah melakukan kebaikan buat negara dan rakyat” serta “setia kepada monarki”.