Rahsia 19 tahun kahwin hidup bahagia, lelaki dedah lantik isteri ‘menteri kewangan’ hingga mampu beli kereta besar dan rumah. Media sosial sering menjadi platform untuk meluahkan perasaan, sama ada oleh lelaki atau wanita.
Baru-baru ini, satu hantaran dari seorang lelaki yang bergelar suami telah menarik perhatian ramai selepas dia secara tidak langsung memuji sikap setia isterinya walaupun mereka pernah menghadapi kehidupan dalam kemiskinan.
Lelaki ini juga berkongsi rahsia kebahagiaan dalam perkahwinan mereka yang sudah berusia 19 tahun.
Mengenang kembali awal perkenalan mereka kira-kira 23 tahun yang lalu, lelaki yang tidak mahu namanya disiarkan mendedahkan bahawa pada ketika itu, dia tidak memiliki apa-apa kenderaan termasuk motosikal.
“Kenderaan utama saya adalah pengangkutan awam. Pada permulaan perkahwinan, gaji sekitar RM700. Kalau dicampur OT (kerja lebih masa), dapatlah RM1,100.
“Duit sewa rumah pada 2005, dah RM500 dan bakinya digunakan untuk kegunaan dapur serta tambang pengangkutan awam,” ujar lelaki itu sambil menyatakan isterinya merupakan seorang suri rumah sepenuh masa.
Walaupun hidup dalam keadaan sederhana, katanya gaji yang diperoleh mencukupi sehingga bulan seterusnya.
Mengenang lima tahun pertama perkahwinan, individu ini merasa bersyukur kerana isterinya tidak pernah mengeluh walaupun mereka tidak memiliki kenderaan untuk kegunaan harian.
“Dari tahun pertama hingga tahun kelima perkahwinan, saya tidak memiliki kenderaan tetapi saya bersyukur isteri tidak pernah mengeluh.
“Walaupun saya tidak memiliki kenderaan, saya senang bergerak kerana kemudahan awam semuanya tersedia di depan mata, kerana kawasan Wangsa Maju (Kuala Lumpur) lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti pusat membeli-belah dan pengangkutan awam,” katanya lagi.
Menurut lelaki ini, kehidupan keluarganya mulai berubah sekitar tahun 2009 selepas kelahiran anak kedua mereka.
Malah, katanya, dengan kesabaran dan ketekunan, dia akhirnya berjaya membeli sebuah kereta Proton Saga BLM pada tahun 2010.
Mengakui rezeki yang berlimpah sepanjang perkahwinannya, dia juga berjaya membeli sebuah rumah teres pada tahun ke-14 perkahwinan mereka.
“Selang lima tahun yang lalu, saya berjaya membeli sebuah kereta jenis MPV yang mempunyai tujuh tempat duduk,” tambahnya.
Menurut lelaki ini, dia dan keluarganya sentiasa dimurahkan rezeki kerana tidak pernah mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak.
Bahkan katanya, semua pendapatan gaji yang diperolehnya diserahkan sepenuhnya kepada isteri agar wanita tersebut dapat menguruskan segala perbelanjaan dan bayaran komitmen bulanan yang diperlukan.
“Semua pendapatan gaji saya saya serahkan sepenuhnya kepada isteri untuk menguruskan bayaran dan keperluan dapur.
“Saya tidak suka hidup terlalu berkira dengan wang kerana wang tidak boleh dibawa mati dan juga kerana wang boleh menyebabkan perselisihan di kalangan saudara mara.”
“Janganlah kedekut duit dengan isteri, anak-anak mahupun keluarga… kalau ada kita hulur, kalau tak ada cakap tak ada,” tambahnya.
Hantaran yang dibuat lelaki ini membuatkan ramai memuji tindakan yang dilakukannya serta keberuntungan memiliki isteri yang memahami dan setia walaupun perlu hidup susah.
“Rezeki datang apabila isteri reda dan sering mendoakan suaminya. Teruskan membahagiakan isteri tuan, namun jangan lupa menghulur untuk ibu bapa juga.
“Alhamdulillah, murah rezeki dengan isteri yang bersyukur dan memahami.
“Saya doakan semoga dilapangkan urusan dan dimurahkan rezeki serta dikurniakan anak-anak yang soleh solehah… asbab menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan baik sekali,” ujar beberapa warga maya.