DUN Johor bubar, PRN dalam tempoh 60 hari

DUN Johor bubar, PRN dalam tempoh 60 hari

DUN Johor bubar, PRN dalam tempoh 60 hari. Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad mengambil langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini dalam usaha menyelesaikan kemelut politik yang berlaku di negeri ini.

Pembubaran DUN dibuat selepas Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis iaitu 28 kerusi berbanding 27 di blok pembangkang.

Ini susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.

Keputusan pembubaran DUN itu dibuat selepas cadangan Badan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Hasni dalam sidang akhbar memaklumkan, tarikh pelaksanaan PRN Johor itu bagaimanapun tertakluk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Keputusan melaksanakan PRN ini dibuat kerana saya merasakan kerajaan johor ketika ini hanya bergerak atas ihsan pembangkang.

“Contohnya ketika sidang DUN lalu, ADUN pembangkang bertegas meminta untuk mereka dilibatkan dalam Jawatankuasa Tindakan Bencana Daerah walaupun perkara itu di bawah bidang kuasa Pejabat Perdana Menteri.

“Kerana mereka (PH) bertegas maka undian dibuat menyaksikan kedudukan seri 27 menyokong dan 27 membangkang, akhirnya Speaker DUN daripada PH menyokong kerajaan, itu yang saya cakap atas ihsan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perhubungan UMNO Johor, di sini.

Sebelum itu, beliau menghadap Sultan Ibrahim di Istana Bukit Serene di sini.

BACA: Sultan Johor perkenan bubar DUN

Watikah yang ditandatangani baginda itu berkenaan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim termansuh pada 22 Januari 2022.

CATEGORIES
TAGS