PRN Johor: Calon Umno mesti berciri ‘WALI’

PRN Johor: Calon Umno mesti berciri ‘WALI’

Calon Umno mesti berciri ‘WALI’.  UMNO akan mengekalkan resipi kejayaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka, November lalu dengan menetapkan kriteria calon Barisan Nasional (BN) menepati ciri ‘WALI’ iaitu ‘winnable’, ‘acceptable’ dan ‘likeable’.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ciri dan kriteria yang ditetapkan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan diguna pakai pada PRN di Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Kriteria calon UMNO serta BN pada PRN Johor akan ditetapkan mengikut acuan WALI yang ditetapkan Presiden parti.

“Itu antara kriteria yang disebut Presiden sebelum ini dan ia akan terus digunakan pada PRN Johor,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program retreat dan gerak gempur jentera Kongres Islam Muslim Malaysia (Kimma), di Bangunan UMNO Johor, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Presiden Kimma, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader; Setiausaha Agung Kimma, Hussain Jamal dan Pengerusi Kimma Johor, Datuk Anwar Sadat.

Oktober lalu, Ahmad Zahid menggariskan calon BN yang bertanding dalam PRN Melaka perlu mempunyai ciri ‘WALI’.

Beliau dilaporkan berkata, calon itu juga perlu memiliki sifat wali Allah iaitu mempunyai ilmu yang boleh diterima semua agama, kaum dan keturunan bagi rakyat Melaka.

Disoal mengenai permintaan akar umbi UMNO yang mahukan lebih banyak calon muda ditampilkan pada PRN Johor, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, masih belum ada keputusan dibuat mengenai pemilihan calon yang akan disenaraikan nanti.

“Belum ada lagi keputusan akhir mengenai calon kerana ia akan diputuskan pimpinan tertinggi parti bersama pimpinan negeri.

“Namun seperti PRN Melaka, calon yang dikemukakan UMNO dan BN mempunyai kombinasi mereka yang berpengalaman serta muka baharu di kalangan orang muda. Tentunya akan ada kombinasi sama pada PRN Melaka nanti. Untuk kita, kita tunggu dan lihat,” katanya.

CATEGORIES
TAGS