Polis tangkap semula suspek kes culik Albertine Leo selepas jumpa ‘sesuatu’ dalam rumah. Dalam perkembangan terbaru mengenai kes culik kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun, Albertine Leo Jia Hui, pihak polis telah menangkap semula salah seorang suspek.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, menyatakan bahawa tangkapan dilakukan selepas pihak polis menjumpai pelbagai alat mainan seks, bahan pornografi dewasa, dan bahan berkaitan penganiayaan seksual kanak-kanak di rumah suspek di Kulai, Johor.
Sebelum ini, tempoh sambungan reman suspek tamat hari ini, dan suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis sebelum tangkapan semula dilakukan.
Suspek yang berusia 31 tahun dan merupakan warga tempatan akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah reman sekali lagi.
Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana mengakses atau memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak, dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit, atau kedua-duanya sekali.
Bagi Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau dikenakan denda, atau kedua-duanya sekali.