Polis serbu pusat latihan kuda di Terengganu, 13 ekor kuda ditemui dicop logo GISBH. Sebanyak 13 ekor kuda di sebuah pusat latihan berkuda yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Kampung Mengabang Panjang, Kuala Nerus, diserbu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam dan didapati dicop dengan logo GISBH.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Aizi Saidi Abdul Aziz, berkata beberapa cop logo berkenaan dilihat di bahagian atas kaki hadapan kuda, dan perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh pihak polis.
Pusat latihan berkuda itu terletak di hadapan sebuah banglo mewah berpagar di tepi pantai dan dipercayai disewa oleh pengikut GISBH.
“Hari ini, saya pergi lagi ke sana tetapi sudah tidak boleh masuk kerana tempat itu berkunci. Saya difahamkan tempat itu mereka sewa. Kuda-kuda tersebut juga tiada lagi di situ. Setakat ini, tiada maklumat mengenai siapa yang membawanya keluar,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Selain itu, Aizi Saidi menyatakan bahawa beliau juga dimaklumkan mengenai satu nota tulisan tangan yang terdapat pada dinding pusat latihan kuda itu, yang menyebut tentang pembalasan di akhirat akibat tindakan pihak berkuasa terhadap mereka.
“Pada pandangan saya, pesanan itu menunjukkan rasa marah mereka terhadap apa yang berlaku sekarang. Mereka menganggap kita sebagai musuh yang mengganggu aktiviti mereka, sedangkan kita hanya ingin mencari penyelesaian,” katanya.
Sementara itu, beliau menyebut bahawa pihaknya telah mengenal pasti beberapa premis yang membabitkan kumpulan itu, antaranya di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, dan Setiu.
“Sebelum ini, terdapat beberapa serbuan oleh pihak berkuasa, termasuk sebuah asrama di Kuala Terengganu. Namun, kami masih tiada maklumat sama ada asrama itu adalah rumah amal yang dihuni oleh anak-anak pengikut GISBH. Ketika serbuan, asrama itu juga didapati kosong.”
“Laporan yang kita ada setakat ini akan dibentangkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) esok,” katanya.
Sebelum ini, Mufti Terengganu, Datuk Mohamad Sabri Harun, menyatakan bahawa Terengganu hanya akan mengeluarkan fatwa mengenai kepercayaan dan ajaran dalam GISBH sebagai sesat jika terdapat bukti yang jelas.