Pian Cecupak meninggal dunia

Pian Cecupak meninggal dunia

PETALING JAYA – Pelawak Pian Cecupak telah menghembuskan nafas terakhirnya selepas terjatuh di bilik air di kediaman ibunya di Pangsapuri Sentul Murni, Taman Dato Senu, Sentul, Kuala Lumpur.

Menurut adiknya, Hassenah, abangnya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibunya di dalam bilik air sekitar pukul 8 malam tadi.

“Punca kematiannya belum diketahui. Sepatutnya abang ada tawaran persembahan esok, tetapi kami tidak pasti dimana.

“Proses pengebumian juga belum dapat dipastikan di mana buat masa ini dan hanya akan diketahui esok. Buat masa jenazahnya masih di rumah emak dan selepas ini akan ditempatkan di surau di sini,” katanya.

Sebelum ini, Allahyarham Pian atau nama sebenarnya Mohd. Rafik Abdul Rahman, 52, pernah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), selepas mengalami kesukaran bernafas pada Oktober 2018.

Selepas dirawat di hospital doktor mengesahkan arwah mengalami serangan jantung kerana masalah jantung tersumbat.

Allahyarham pernah mendirikan rumah tangga namun, bercerai dengan bekas isteri pada 2000.

Menerusi perkahwinan tersebut arwah dikurniakan dua anak perempuan iaitu Nuraina Fazrin dan Nurleena Fazrin.

Pian mula meraih populariti menerusi kumpulan pelawak Cecupak yang ditubuhkan pada 1998. Selain Pian, Cecupak turut dianggotai oleh Allahyarham Pak Lah, Pak Jaih, Ucop dan Ropie.

CATEGORIES
TAGS