Pesara TLDM jadi jutawan segera, menang cabutan SSi RM1 juta. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Peribahasa ini tepat menggambarkan nasib seorang pesara tentera laut yang menjadi ‘jutawan segera’ selepas membawa pulang wang tunai RM1 juta melalui cabutan Sijil Simpanan Islamik (SSi) Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) yang diumumkan malam tadi.
Sajihan M.C Mohamed, 63, dari Seri Manjung, Perak adalah jutawan ketiga bagi cabutan SSi Jutawan Hebat sejak diperkenalkan Bank Muamalat pada Ogos 2023.
Bapa kepada lima anak itu tidak pernah membayangkan sijil yang dibeli pada Mac lalu memberi tuah kepadanya dan bersyukur dengan rezeki yang diberikan.
Bagaimanapun, katanya, dia sudah membuka akaun dan menyimpan duit di Bank Muamalat lebih 20 tahun lalu tetapi baru beberapa bulan menyimpan di SSi.
“Setiap kali ke Bank Muamalat, kakitangan di sana akan menggalakkan saya untuk menyimpan di SSi dan menerangkan kelebihan yang akan diperoleh, sehingga membuatkan saya tertarik untuk menyimpan.
“Saya memang sangat teruja dan tidak sangka akan menang kerana baru sahaja mula menyimpan. Jadi, saya terkejut apabila dihubungi minggu lalu.
“Syukur kepada Ilahi kerana saya dapat hadiah RM1 juta. Alhamdulillah, terima kasih Bank Muamalat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah SSi Edisi Gemilang 25 Tahun pada Karnival Jom Heboh Terengganu di pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak malam tadi.
Majlis penyampaian SSi itu disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin.
Yang turut hadir adalah Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar, dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.
Sajihan turut menggalakkan orang ramai untuk menyimpan dalam SSi memandangkan cabutan yang sama akan diadakan pada bulan Disember depan.
Katanya lagi, wang yang dimenangi itu akan digunakan dengan sebaik mungkin.
Sementara itu, Khairul berkata, peningkatan jumlah penyimpan SSi Edisi Gemilang 25 Tahun yang kini mencapai seramai 32,126 pelanggan sejak diperkenalkan setahun lalu menunjukkan kesedaran orang ramai untuk menabung semakin tinggi.
“Kami sentiasa prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi oleh pelanggan untuk menyimpan wang dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.
“Oleh itu, Bank Muamalat telah mengambil keputusan untuk menambah jumlah hadiah keseluruhan SSi daripada RM3 juta tahun lalu kepada RM5 juta tahun ini bagi menggalakkan pelanggan terus menyimpan.
“Sebagai pemudahcara untuk SSi Edisi Cemerlang 25 Tahun, semua pelanggan yang mempunyai Akaun Simpanan-i, Akaun Semasa-i, Akaun Berjangka Tetap-i, dan Akaun SURIA layak secara automatik untuk memenangi SSi,” katanya.