Pertandingan paling pelik, isteri kena sokong suami tenung gambar wajah bekas kekasih paling lama. Menjelang sambutan kemerdekaan Indonesia yang disambut pada 17 Ogos ini, masyarakat di Jawa Barat merayakannya dengan pelbagai aktiviti, termasuk mengadakan pertandingan yang pelik dan unik.
Antara pertandingan yang menarik perhatian ialah pertandingan menatap wajah bekas kekasih paling lama.
“Perlumbaan itu berlangsung pada 11 Ogos lalu di desa Salam Jaya, Kecamatan Pabuaran, Subang, Provinsi Jawa Barat,” lapor portal berita Sumeks.co yang memetik hantaran Instagram penduduk.
Klip video yang dikongsi menunjukkan peserta yang kesemuanya lelaki berlumba-lumba menatap foto wanita cantik yang dianggap bekas teman wanita mereka.
Mereka masing-masing ditemani oleh isteri yang kelihatan memberi sokongan untuk memastikan pasangan mereka memenangi pertandingan tersebut.
Walaupun agak luar biasa, pertandingan unik ini turut memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan Republik Indonesia dan mengundang gelak tawa orang ramai yang menyaksikannya.
Namun, hadiah kepada pemenang tidak diumumkan kepada umum.
Tarikh 17 Ogos setiap tahun merupakan ulang tahun Hari Kemerdekaan Indonesia, yang menandakan pembebasan daripada pemerintahan kolonial Belanda pada tahun 1945.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, sambutan kemerdekaan yang dikenali sebagai ‘tujuhbelasan’ oleh penduduk tempatan disambut dengan pelbagai aktiviti, termasuklah pertandingan menangis paling lama.