Perompak ‘kayangan’ naik kereta mewah pecah masuk rumah pegawai polis. Dua lelaki telah memecah masuk ke rumah seorang pegawai polis di Taman Sri Andalas, Klang, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata pihak polis telah menerima laporan daripada mangsa yang berusia 36 tahun pada jam 4.20 petang.
Menurutnya, mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam telah diberitahu oleh jiran bahawa rumahnya telah dipecah masuk.
“Selepas dimaklumkan oleh jiran, mangsa pulang ke rumah dan mendapati jeriji pintu rumah telah diumpil dan keadaan rumah dalam keadaan berselerak,” katanya.
Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran mendapati bahawa pada jam 2.20 petang, suspek yang menaiki sebuah kenderaan mewah berwarna putih telah berhenti di hadapan rumah mangsa.
“Dua suspek lelaki kemudiannya keluar dari kereta dan mengumpil jeriji pintu rumah mangsa sebelum meninggalkan tempat kejadian selepas mengambil barang-barang dari dalam rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan bahawa, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM5,000, termasuk kehilangan tiga beg tangan pelbagai jenama, beg duit, telefon bimbit, dan wang tunai RM100.
Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan telah membuka siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pecah rumah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Daerah ini di talian 03-33762222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.