“Perniagaan ayah tak menjadi dan bankrup, duit selalu tak cukup, akhirnya mak buka cerita sebenar ayah aku seorang merbahaya!”

Photo of author

By Joe

“Perniagaan ayah tak menjadi dan bankrup, duit selalu tak cukup, akhirnya mak buka cerita sebenar ayah aku seorang merbahaya!”. Ramai lelaki seronok apabila bercakap tentang topik poligami. Mereka seronok memikirkan nikmat batin dan kemungkinan mempunyai lebih daripada seorang isteri. Namun, wahai lelaki, bacalah kisah ini sebagai panduan dan pedoman untuk masa depan.

Saya seorang anak lelaki dan hari ini saya ingin berkongsi kisah sebenar mengenai poligami kepada anda semua, terutamanya lelaki. Poligami bukan sekadar berkahwin dengan lebih daripada seorang, tetapi ia jauh lebih kompleks dan berat daripada itu.

Kisah ini berkisar tentang ayah saya. Pada tahun 1998, ayah saya terkantoi dengan ibu bahawa dia mempunyai perempuan simpanan. Pada masa itu, dia sudah mempunyai seorang anak dengan perempuan tersebut. Ibu saya ketika itu sibuk menjaga kami adik-beradik yang masih kecil.

"Perniagaan ayah tak menjadi dan bankrup, duit selalu tak cukup, akhirnya mak buka cerita sebenar ayah aku seorang merbahaya!"

Mungkin kerana ibu saya sibuk menjaga anak-anak, ayah saya mengambil kesempatan untuk berkahwin lagi. Walaupun pada masa itu saya berusia 7 tahun, saya masih ingat saat ibu saya membawa semua adik-beradik saya, ada yang sedang didukung dan ada yang dalam stroller, pergi ke rumah perempuan itu.
Lebih mengejutkan, rumah perempuan itu hanya berjarak berjalan kaki dari rumah kami—mungkin dalam 200-300 meter sahaja. Sudah pasti ibu saya terkejut dan kecewa dengan tindakan ayah yang berkahwin lain walhal rumah tangga dijaga dengan baik, hari-hari memasak, mengemas rumah, dan menjaga anak-anak.

Apa lagi yang ayah saya mahukan? Setibanya di rumah perempuan itu, ayah saya ada di dalam rumah tersebut dan ibu saya mula marah sehinggalah ayah saya melafazkan cerai secara lisan dan bertulis terhadap perempuan tersebut.

Ibu percaya bahawa ayah tidak lagi berhubung dengan perempuan itu dan menganggap cerita ini telah berakhir di situ. Sejak peristiwa itu, perniagaan ayah merosot dan dia bankrap. Tiada wang yang mencukupi menyebabkan kami terpaksa berpindah ke rumah nenek (ibu kepada ayah) sementara waktu. Ibu mula berniaga kuih dan nasi lemak setiap pagi, manakala ayah pula mula bekerja sebagai pemandu teksi untuk mencari rezeki demi anak-anak.

Hari-hari ayah keluar mencari rezeki, namun bila pulang malam, hanya sedikit sahaja duit belanja yang ada untuk ibu. Ibu bersabar kerana begitulah suami isteri—susah senang bersama, perlu bertoleransi. Lagipun, duit dari jualan kuih dan nasi lemak juga sedikit sebanyak meringankan beban keluarga.

Tahun demi tahun, masalah terus berlaku. Teksi ayah kerap rosak dan sewa teksi semakin tertunggak. Selalu juga ibu mengeluarkan duit simpanannya untuk membantu ayah membayar sewa tertunggak, kos pembaikan, atau kos deposit untuk teksi baru. Mungkin Allah mahu menguji, ibu terus bersabar.

15 tahun kemudian (2013), rezeki ayah semakin sempit. Teksi yang digunakan semakin kerap rosak walaupun sudah bertukar-tukar kenderaan. Wang tidak pernah mencukupi dan kami terpaksa meminjam dari pak long, pak ngah, dan adik-beradik yang lain.

Kadang-kadang ayah berkata dia menerima kerja luar kawasan, mungkin untuk menghantar orang ke Penang, Kedah, atau tempat lain. Jadi, dia tidak pulang dan bermalam di sana. Jika tidak cukup duit, dia akan minta ibu mengeluarkan simpanannya untuk dipinjam.

Ibu pun memberikan duit untuk kos minyak dan hotel. Namun, satu hari ibu mendapat berita dari makcik-makcik (gossip girls) bahawa mereka pernah melihat ayah bersama perempuan lain (perempuan yang diceraikan 15 tahun lalu). Hati ibu retak seribu.

Selama 15 tahun, ayah masih terus menipu dan berdusta. Tidak hairanlah rezekinya semakin sempit kerana berdusta tidak pernah berhenti. Lebih mengecewakan, perempuan itu tinggal di daerah yang sama dan kini sudah mempunyai 2-3 orang anak pula.

Kenapa dia kembali? Tidak cukupkah ibu telah memberi peluang untuk tidak menipu lagi? Pada waktu itu, saya adalah pelajar tahun akhir di universiti. Saya merasa serabut memikirkan ibu yang sedih kerana ditipu suami selama lebih daripada 15 tahun.

Ibu yang tidak pernah kisah bersusah-payah bersama, menjalankan tanggungjawab dengan sempurna, memasak hari-hari, mengasuh anak-anak, dan menyiapkan pakaian kami. Ibu tidak pernah makan malam sebelum ayah pulang.

Begitu setianya ibu, begitu butanya ayah. Setelah mendapat tahu, ibu dan ayah sering bergaduh. Ayah juga pernah bertindak kasar terhadap ibu sehingga menyebabkan lebam. Abang-abang saya bekerja, jadi saya lebih fleksibel untuk pulang ke rumah dan menenangkan serta melindungi ibu.

Pointer akademik saya merosot sedikit demi sedikit, nasib baik tahun akhir, saya dapat juga grad dengan kelas kedua. Pernah sekali saya bertekak dengan ayah dan hampir bertumbuk, namun pak cik saya sempat menarik saya ke rumahnya untuk menenangkan saya.

Kini, ayah semakin terdesak duit dan banyak berhutang—hutang dengan kawan-kawan, adik-beradik, along, dan ceti. Duit itu kami semua tidak tahu ke mana perginya. Mungkin untuk menyara keluarga sebelah sana.

Lebih memburukkan keadaan, perempuan itu memaki dan menfitnah ibu di Facebook. Ibu pernah terbaca mesej antara dia dan ayah. Barangkali jika ayah kata dia outstation, sebenarnya dia tidur di rumah sana.

Kes semakin meruncing, saya membawa ibu ke mahkamah syariah. Mereka dipanggil untuk kaunseling dan ibu kemudiannya membuat permohonan fasakh. Saat itu ibu baru membuka cerita bahawa ayah pernah mempunyai rekod jenayah cabul sewaktu kami kecil.

Namun, perkara itu didiamkan kerana bimbang anak-anak membesar tanpa ayah. Kami mencari rumah sewa kerana bimbang ayah akan bertindak gila dan memberi tekanan kepada ibu. Dalam tempoh setahun, ayah memujuk ibu untuk pulang semula ke rumah lama.

Ibu tidak berbincang dengan anak-anak dan terus pulang ke sana. Kes fasakh ditarik semula. Dalam tempoh ini, ibu cuba untuk melupakan hal ayah dan isteri keduanya. Ayah tidak bekerja selama lebih setahun. Kami anak-anak memberikan sedikit duit belanja semampu kami.

Ibu pula gigih menjual kuih karipap, kaswi, dan kuih raya untuk mencari rezeki untuk keluarga. Ayah mula berkopiah dan sering ke masjid, namun sering juga meminta wang untuk membayar ceti. Masalahnya, duit yang dipinjam itu tidak pernah ibu rasai dan tidak tahu menahu jika tiada orang yang beritahu. Pasti untuk perempuan itu.

Dia meminta bukan sedikit tetapi RM7,000. Dia mula naik gila, menghalaunya ibu dari rumah itu, sedangkan rumah itu dibina dengan hasil titik peluh ibu berniaga. Dia tidak bekerja dan terus menipu. Katanya “berambuslah engkau.”

Apabila ibu minta dilepaskan, dia kata berikan duit sebanyak RM30,000 dahulu sebelum dia akan lepaskan ibu. Video perbualan itu dirakam oleh ibu sebagai bukti. Saya pun pelik dengan ayah saya ini. Kenapa dia masih mahu menzalimi dan menganiaya ibu? Pergilah berambus dengan perempuan itu.

Dia mula menyuruh abang sulung saya membuat pinjaman peribadi, katanya akan bayar semula RM300 sebulan. Sedangkan, duit belanja ibu, RM50 sebulan pun dia tidak beri. Dia mula menengking-nengking. Sifat sebenar dia sudah mula terserlah. Kopiah di kepala hanya sandiwara.

Kali ini saya tidak tahan lagi dengan tingkah laku dia, akhirnya saya ke mahkamah membuka semula kes fasakh, dan mahkamah membenarkan untuk membawa ibu keluar. Kes akan dibicarakan bulan hadapan, doakan agar kali ini kes dapat diselesaikan.

Berpoligami itu memang sunnah Nabi, tetapi banyak perkara yang perlu dititikberatkan. Isteri yang baik, hargailah. Jangan hidup dengan menipu isteri atau suami. Allah itu Maha Adil. Jangan memandang enteng isu poligami hanya kerana nampak seronok sahaja.

Ini adalah kisah benar, saya saksi satu persatu nikmat Allah ditarik dari ayah saya. Kini, dia berhutang keliling pinggang, ceti along sedang mencari. Rumah lama sudah dituntut tuan tanah, kereta, simpanan langsung tiada. Isteri yang selama ini menyokong sudah tiada, anak-anak sudah memberi peluang namun masih sama, memudaratkan.

Kami anak-anak lelaki perlu melindungi ibu kerana dia adalah syurga dan segalanya bagi kami. Saya hanya minta agar ibu dilepaskan dari siksaan ini. Ibu juga berhak hidup bahagia selepas bertahun-tahun hidup tersiksa. Jika ada yang mengatakan berpoligami mendatangkan rezeki, saya katakan tidak. Banyak cara lain untuk mendatangkan rezeki. Sekian. – Adam

Baca Lagi:
Polis tangkap semula suspek kes culik Albertine Leo selepas jumpa ‘sesuatu’ dalam rumah
Wanita duduk tepi jalan tawar khidmat untuk lelaki kesepian jadi ‘teman wanita tercantik’ serendah RM0.63 sen
Suami tak pernah tinggal solat, lepas 12 tahun kahwin baru tahu suami ‘dua alam’