Pernah menang pingat gangsa Sukan SEA, bekas atlet berbasikal kini jadi peniaga kopi

Photo of author

By Joe

Pernah menang pingat gangsa Sukan SEA, bekas atlet berbasikal kini jadi peniaga kopi. DEMI kelangsungan hidup selepas bersara dalam bidang sukan berbasikal, seorang bekas pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), kini berjaya membuka perniagaan kopi berkonsepkan kios di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Ladang Tok Pelam, dekat Kuala Terengganu.

Mohd Zamri Salleh, 40, yang juga pemenang pingat gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, berkata beliau memulakan perniagaan berkenaan kerana minatnya terhadap minuman kopi walaupun beliau tiada pengalaman dalam pembuatan minuman tersebut.

“Saya bersara daripada kejohanan sukan berbasikal pada 2019. Jadi, ketika penghujung karier saya, saya mula terfikir bagaimana untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas tidak lagi menjadi atlet.

Pernah menang pingat gangsa Sukan SEA, bekas atlet berbasikal kini jadi peniaga kopi

“Kebanyakan atlet sebenarnya mengalami kesukaran untuk bertahan selepas karier mereka, di mana ada yang tidak mempunyai simpanan sendiri selain perlu menanggung komitmen lain seperti membayar kereta, rumah, dan sebagainya.

“Jadi, dengan simpanan yang masih ada, saya memilih untuk membuka perniagaan kedai kopi kerana minat saya terhadap minuman itu. Saya juga terfikir kenapa tidak hasilkan kopi sendiri dengan membuka perniagaan menjual kopi dengan jenama sendiri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kedai kopi miliknya yang diberi nama Zs Coffee Shop baru-baru ini.

Bagaimanapun, Zamri berkata, pada permulaan, dia membuka sebuah kafe di Pasir Panjang pada awal tahun 2020, namun perniagaan yang diusahakan itu hanya bertahan selama dua tahun.

Pernah menang pingat gangsa Sukan SEA, bekas atlet berbasikal kini jadi peniaga kopi

“Dalam perniagaan, sudah biasa mengalami pasang surut. Ketika saya memulakan perniagaan tersebut, ia merupakan antara kedai kopi yang dibuka terawal di Terengganu dan sambutannya amat menggalakkan ketika itu.

“Namun kini, sudah banyak kedai kopi dibuka di Terengganu dan orang ramai mempunyai banyak pilihan.

“Oleh itu, saya membuat keputusan untuk menutup perniagaan kafe di Pasir Panjang itu kerana masalah parkir yang sukar di kawasan berhampiran menyebabkan pelanggan sukar untuk singgah.

“Disebabkan minat saya terhadap kopi, dua tahun kemudian saya membuka perniagaan kopi berkonsepkan kios di Jalan Sultan Zainal Abidin, dan perniagaan ini bertahan sehingga sekarang,” ujarnya.

Bekas pelumba kebangsaan itu berkata, dia hanya menggunakan modal sendiri berjumlah RM20,000 tanpa meminta bantuan daripada mana-mana agensi untuk membuka perniagaan kopi berkonsepkan kios tersebut.

“Semasa saya menyertai kejohanan berbasikal sebelum ini, saya telah pergi ke pelbagai negara, dan di setiap negara yang saya singgah seperti Thailand dan Australia, saya pasti akan mengunjungi kedai kopi di sana untuk mempelajari cara pembuatan kopi mereka.

“Konsep perniagaan kopi ini adalah dengan meletakkan mesin kopi di bahagian depan supaya orang ramai boleh melihat proses pembuatan kopi tersebut.

“Dengan minat yang ada, saya memerhatikan cara pembuatan kopi dan cuba menghasilkan kopi melalui kaedah ‘try and error’ sehingga mendapat rasa yang sesuai dan mengubah suai rasa kopi mengikut citarasa sendiri,” katanya sambil menambah bahawa dia menggunakan biji kopi dari Brazil dalam pembuatan kopi yang dijual di kedainya.

Mohd Zamri berkata, dia membuka perniagaan kopi dengan konsep santai kepada pelanggan, meskipun tidak seperti kedai kopi lain yang mempunyai ruang yang luas dan berhawa dingin.

“Kios saya berkonsepkan terbuka, walaupun tiada pendingin hawa, pelanggan boleh menikmati kopi secara santai sambil menikmati udara segar,” ujarnya.

“Saya juga menyasarkan pelanggan khusus iaitu pekerja pejabat di sekitar bandar Kuala Terengganu serta pemain basikal yang singgah untuk minum kopi sebelum meneruskan kayuhan mereka pada waktu petang setiap hujung minggu.

“Dengan sasaran pelanggan tersebut, saya sudah cukup untuk bertahan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, selain menghadapi persaingan daripada kedai-kedai kopi lain.

“Disebabkan itu, saya hanya mempunyai seorang pekerja untuk menguruskan kios ini,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Mohd Zamri menyatakan hasrat untuk membuka perniagaan kopi berkonsepkan kios di setiap daerah di Terengganu.

“Saya tidak bercadang untuk membuka kafe besar yang dilengkapi dengan pendingin hawa. Namun, saya berharap kedai kopi berkonsepkan kios yang diusahakan ini dapat dikenali oleh peminat kopi di seluruh negara,” jelasnya.

Baca Lagi:
Selangor tarik balik tauliah mengajar Ustaz Don
Basikal WX-R Vorteq milik pelumba negara di Olimpik Paris 2024 berharga hampir separuh juta setiap satu
Pulau untuk dijual di Terengganu, harga ditawarkan RM28 juta