Pernah bongkar kes COVID-19, wartawan China akhirnya bebas selepas 4 tahun dipenjara. Pihak berkuasa di China dijangka akan membebaskan seorang wartawan warga China yang telah dipenjarakan selama empat tahun kerana melaporkan fasa awal wabak COVID-19 dari pusat bandar Wuhan pada tahun 2020.
Zhang Zhan, 40 tahun, yang ditempatkan di Wuhan pada awal tahun 2020 dari Shanghai, telah menyiar laporan mengenai keadaan hospital yang sesak dan jalan-jalan yang lengang, memberikan gambaran yang lebih terperinci mengenai wabak tersebut berbanding dengan saluran rasmi.
Selepas beberapa bulan membuat laporan, termasuk siaran video, dia ditangkap pada bulan Mei 2020.
Menurut dokumen mahkamah yang dilihat oleh Reuters pada akhir Jun tahun lalu, dia telah melancarkan mogok lapar sehingga polis terpaksa mengikat tangannya dan memberi makan secara paksa melalui tiub.
Pada Disember 2020, beliau telah disabitkan oleh mahkamah Shanghai atas tuduhan ‘memprovokasi pertengkaran dan mencetuskan masalah’, dan dijatuhi hukuman penjara empat tahun.
Menurut aktivis hak asasi manusia, Zhang telah dibebaskan semalam.
Salah seorang daripada peguamnya, Zhang Keke, bagaimanapun memberitahu Reuters bahawa setakat ini tiada pengesahan sama ada beliau telah dibebaskan atau tidak.
“Saudara-mara dan keluarga Zhang Zhan masih belum memberi maklum balas kepada saya,” katanya.
Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin, memberitahu pemberita bahawa beliau juga tidak mempunyai ‘maklumat yang berkaitan’ mengenai perkara tersebut.
Jane Wang, seorang peguam bela yang berpangkalan di UK untuk pembebasan Zhang Zhan, mengatakan bahawa keluarga Zhang diletakkan di bawah tekanan tinggi oleh pihak berkuasa dan diberi amaran untuk tidak berhubungan dengan media.
“Adalah tidak dapat diterima sama sekali jika kerajaan China menyasarkan ramai pembela hak asasi manusia dan keluarga mereka menggunakan kekejaman seperti ini.
“Walaupun selepas dibebaskan dari penjara, mereka masih dirampas hak asasi mereka,” kata Wang kepada Reuters.
Menurut kumpulan hak asasi manusia, kesihatan Zhang Zhan merosot secara serius dalam penjara dan beliau dimasukkan ke hospital penjara pada pertengahan 2023.
Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) juga mengutuk perkara tersebut dan menyifatkan tuduhan terhadap Zhang sebagai ‘pendakwaan palsu’ dan berulang kali meminta beliau dibebaskan.
Zhang dipuji sebagai wira oleh banyak penduduk China kerana berani mendedahkan krisis COVID-19 ketika kerajaan cuba menutupinya; malah laporan beliau turut menarik perhatian antarabangsa apabila virus itu merebak dengan pantas ke seluruh dunia berpunca dari Wuhan.
Walau bagaimanapun, pihak berkuasa China dituduh bertindak terlalu keras dan kasar dalam menangani Zhang dan pengkritik lain mengenai dasar COVID-19.
Menurut laporan media, seorang lagi pemberi maklumat mengenai COVID-19, Fang Bin, dipenjarakan selama tiga tahun sebelum dilaporkan dibebaskan tahun lalu.
“Walaupun orang yang baru dibebaskan secara amnya berada di bawah pengawasan ketat dan proses ini lebih menyakitkan daripada di penjara, saya masih berharap beliau (Zhang) boleh mendapat kebebasan yang sepatutnya,” tulis salah seorang penyokongnya di platform X.