Perlu banyak berzikir bila pergi ke pasar, mufti terangkan kenapa tempat ini dibenci Allah. Pasar merupakan tempat yang menjadi tumpuan khalayak untuk membeli barangan basah keperluan harian seperti ikan, ayam, daging, makanan laut, dan pelbagai sayuran.
Namun, seorang individu menarik perhatian ramai dengan mengajukan soalan sama ada benar pasar merupakan tempat yang dibenci oleh Allah SWT.
Keraguan tersebut dijelaskan oleh pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi portalnya.
Diceritakan dalam al-Quran bahawa dunia ini diibaratkan sebagai tempat persinggahan sementara bagi manusia untuk mengumpulkan amalan, yang akan dibawa ke akhirat yang kekal.
Oleh itu, sebagai orang beriman, kita perlu memanfaatkan waktu dengan banyak melakukan amal soleh dan menghindari tempat yang tidak baik.
Irsyad al-Hadith menjawab persoalan ini dengan merujuk kepada hadis yang berkaitan:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Tempat yang paling disukai oleh Allah adalah masjid-masjidnya dan tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar-pasarnya.” (Riwayat Muslim (671))
Imam al-Nawawi dalam kitabnya menyatakan bahawa masjid adalah tempat yang disukai Allah kerana ia merupakan tempat ibadah dan ketakwaan.
Sebaliknya, pasar dianggap tidak disukai Allah kerana sering menjadi tempat penipuan, riba, dan jauh dari ingatan kepada Allah.
Imam al-Qurtubhi pula menyebutkan bahawa memasuki pasar dianggap makruh, terutamanya jika terdapat banyak kemungkaran di dalamnya. Hal ini lebih relevan pada zaman sekarang yang menyaksikan percampuran antara lelaki dan wanita.
Menurut para ulama, apabila terdapat banyak kebatilan dan kemungkaran di pasar, maka hukum memasuki pasar adalah makruh walaupun tujuannya adalah untuk mendapatkan kebaikan.
Imam Ibn Batthal menjelaskan bahawa masjid adalah tempat mengingat Allah, sedangkan pasar penuh dengan kebisingan dan kesibukan duniawi, seperti manusia yang sibuk mengumpul duit.
Melihat kepada pandangan para ulama di atas, maka hukum memasuki pasar adalah makruh kerana ia boleh menyebabkan manusia jauh atau berpaling daripada mengingati Allah SWT.
Imam al-Mawardi dan lain-lain juga mencela perbuatan orang yang sentiasa melazimi pasar dan banyak menghabiskan masa dengan sibuk di sana sehingga mengabaikan ibadah kepada Allah SWT.
Kesimpulannya, hadis yang menyebut pasar sebagai tempat yang dibenci oleh Allah adalah sahih, memandangkan memasuki pasar dianggap makruh kecuali jika ada keperluan mendesak. Dalam pada itu, kita perlu menjaga adab dan tidak menghabiskan waktu dengan perkara-perkara yang tidak berguna sehingga mengabaikan kewajiban kita sebagai hamba Allah.