Perhilitan rampas cengkerang ‘ong’ bernilai RM1 juta. Kepercayaan mitos bahawa corak tertentu pada cangkerang kura-kura boleh membawa tuah dan kekayaan kepada pemiliknya adalah salah satu punca mengapa pelbagai spesies kura-kura yang dilindungi dari India, Bangladesh, Pakistan, dan Afrika giat diseludup ke negara ini.
Terbaru, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia telah menumpaskan sindiket penyeludupan reptilia tersebut dengan rampasan hampir RM1 juta, kelmarin.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata operasi membanteras jenayah pemerdagangan haiwan liar dilindungi melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) diketuai oleh pegawai Wildlife Crime Unit (WCU) Perhilitan, Celescoriano Razond, dan turut disertai enam anggota Cawangan Risik Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM.
“Risikan telah dilakukan sejak dua minggu lalu untuk mengesan sisa-sisa geng penyeludupan spesies kura-kura yang dilindungi dan hampir pupus dari India serta benua Afrika.
“Pada jam 4.23 petang kelmarin, kami telah menyerbu sebuah rumah di Cheras.
“Seorang lelaki tempatan berusia 50-an telah diarahkan untuk membuka pintu sebelum pihak berkuasa menemui empat lagi individu, termasuk dua warga Kemboja.
“Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, kami menjumpai pelbagai hidupan liar yang dilindungi, antaranya lima kura-kura Indian Star Tortoise, seekor kura-kura Pig Nosed Turtle, seekor kura-kura Sulcata, dan seekor kura-kura Leopard Tortoise.
“Selain itu, Perhilitan juga merampas gading gajah dan satu tengkorak buaya dari premis yang sama.
“Pemilik rumah gagal mengemukakan lesen atau permit yang membenarkan penyimpanan hidupan liar tersebut mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, AKTA 716,” katanya.
Kadir berkata, susulan tangkapan pertama itu, pihaknya telah melaksanakan operasi kedua dan menahan dua suspek di Cheras.
Dalam operasi kedua itu, pihaknya telah merampas seekor kura-kura Testudo, dua kura-kura Radiated Tortoise, dua kura-kura Sulcata, dan seekor kura-kura Pig-Nosed Turtle.
“Hasil daripada kedua-dua operasi ini, Perhilitan yakin telah berjaya merampas pelbagai spesies kura-kura yang dianggarkan bernilai hampir RM1 juta mengikut nilai pasaran.
“Unit WCU Perhilitan akan meneruskan operasi untuk mengesan saki-baki geng penjenayah Geng Ninja Turtle yang aktif dalam penyeludupan dan penjualan hidupan liar di pasaran gelap,” katanya.
Tindakan terbaru kelmarin adalah susulan kejayaan Perhilitan menumpaskan sindiket pemerdagangan kura-kura terbesar di Asia Tenggara, Geng Ninja Turtle, yang beroperasi di Lembah Klang pada 2 Julai lalu.
Hasil serbuan di Subang Jaya dan markas sindiket berpangkalan di Ampang, Selangor, Perhilitan telah merampas lebih 400 kura-kura yang terdiri daripada spesies Chinese-Stripe Necked Turtle, Black Pond Turtles, Snapping Turtle, Red Eared Slider, dan labi-labi.