Percaya dengan kawan boleh jadi penawar, lelaki gigit ular sampai mati selepas kena patuk. Tindakan seorang lelaki di India yang percaya bahawa menggigit balik ular yang mematuknya dapat menyelamatkannya dari maut telah berjaya.
Santosh Lohar, 35 tahun, berjaya diselamatkan setelah dia dipatuk dua kali oleh ular berbisa, dan dia segera dibawa ke hospital oleh rakan-rakannya yang menyaksikan kejadian itu.
Semasa insiden berlaku, Lohar sedang bekerja sebagai buruh memasang rel kereta api di hutan Rajauli dekat bandar Nawada, wilayah Bihar pada Selasa lepas.
Ketika sedang tidur, ular berbisa tersebut tiba-tiba menyerangnya. Lohar bertindak pantas dengan menangkap ular itu dan menggigit kepala ular tersebut dua kali sehingga ular tersebut mati.
Dalam beberapa kawasan di India, terdapat kepercayaan bahawa menggigit balik ular yang mematuk akan memindahkan racun kembali kepada ular tersebut.
“Di kampung saya, kami mempercayai bahawa apabila digigit ular, kita perlu menggigitnya balik dua kali untuk menetralkan racunnya,” kata Lohar kepada India Today.
Namun, spesies ular yang mematuknya belum dikenal pasti hingga kini.
Selepas kejadian itu, Lohar diberi suntikan anti-venom oleh doktor untuk rawatan lanjut.
Kisah ini menjadi viral di media sosial di seluruh India di mana ramai netizen menganggap ular tersebut tidak berbisa atau bahawa Lohar mungkin akan meninggal dunia jika dipatuk oleh ular tedung senduk.