Percaturan politik Azmin mula tunjuk kepincangan

Percaturan politik Azmin mula tunjuk kepincangan

Percaturan politik Azmin mula tunjuk kepincangan. Hasil ‘air tangan’ bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sebelum ini mencatur politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) seperti ‘Langkah Sheraton’ dan peralihan kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) didakwa mula menunjukkan kepincangan.

Tindakan Mohamed Azmin yang kini Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu boleh dilihat menerusi pertembungan antara Perikatan Nasional (PN) dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, bakal memberi refleksi kepada gabungan mereka dalam Kerajaan Persekutuan.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata, ketegangan antara BN dan PN sebenarnya makin memuncak dengan tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Johor yang keluar parti selepas hilang kepercayaan terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Percaturan politik Azmin mula tunjuk kepincangan

HALIMEY ABU BAKAR

 

“Tindakan kebudak-budakan dengan mengugut untuk menarik sokongan seandainya kehendak tidak dipenuhi seperti yang biasa dilakukan Mohamed Azmin sekian lama sebelum mengkhianati PKR bakal menjejaskan kestabilan kerajaan dibentuk andai kepercayaan diberi kepada calon BN dan PN pada PRN Johor,” katanya.

Oleh demikian beliau menyelar Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu yang sebelum ini mendakwa Presiden PKR merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mula hilang keyakinan terhadap gabungan pembangkang.

Justeru, Halimey menasihatkan Mohamed Azmin supaya muhasabah diri dengan menilai kebersamaan antara BN yang diterajui UMNO dengan PN diketuai Bersatu dan Pas.

“Pertembungan sesama sendiri yang tidak dapat dielakkan ketika PRN Melaka sudah cukup menunjukkan betapa huru-haranya gabungan yang bersama membentuk Kerajaan Keluarga Malaysia ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kenyataan bekas Adun Bersatu Johor bahawa keputusan meninggalkan parti diambil selepas parti yang disokong selama ini hilang hala tuju dan gagal meneruskan agenda penubuhannya juga menunjukkan Bersatu telah sampai ajal untuk dikuburkan rakyat.

“Secara terang-terangan mereka juga menggesa rakyat Johor menolak Bersatu dan reaksi Mohamed Azmin yang menyifatkan tindakan dua ADUN itu keluar parti bukan perkara luar biasa khususnya menjelang pilihan raya menunjukkan beliau terbiasa dengan amalan mengkhianati amanah rakyat selepas Langkah Sheraton,” jelasnya.

Oleh demikian, beliau berpesan kepada Ahli Parlimen Gombak itu supaya berhenti daripada berkelakuan seperti gila talak dan berhenti menjaga ‘tepi kain orang’.

Dalam pada itu, Halimey turut menjelaskan keputusan PKR untuk menggunakan logo sendiri dalam PRN Johor sudah pun dibincangkan secara teliti dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PH.

“Tiada apa yang perlu diragui tentang kebersamaan parti gabungan PH terutamanya isu pertindihan kerusi. Apa yang penting ketika ini adalah meneruskan gerak kerja menyantuni rakyat demi memastikan agenda pencerahan diteruskan,” jelasnya.

Baca lagi: 

PRN Johor: Muhyiddin Dicabar Jadi ‘Poster Boy’ Guna Slogan ‘Abah Sayang Johor’

Jihad menentang dadah – Ayob Khan

Junta Myanmar guna agama raih sokongan rakyat

CATEGORIES
TAGS