Perasmian SUKMA Sarawak raih perhatian dunia, lebih ‘padu’ daripada perasmian Olimpik Paris 2024. Upacara pembukaan yang gilang-gemilang untuk Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 telah memukau lebih 40,000 penonton di Stadium Sarawak malam tadi.
Pertunjukan dron bercahaya dan pancaran laser pelbagai warna turut menceriakan pembukaan temasya tersebut, selain persembahan tarian daripada pelbagai etnik yang menjadi antara elemen kejutan untuk pengunjung.
Malah, kebanyakan warga maya (netizen) turut berpendapat bahawa pembukaan SUKMA di Sarawak jauh lebih hebat berbanding pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 yang berlangsung bulan lalu.
“Pembukaan SUKMA di Sarawak berkali-kali ganda lebih menarik berbanding Olimpik Paris yang tidak memuaskan itu,” kata seorang pengguna X.
Pendapat tersebut turut disetujui oleh pengguna media sosial yang lain.
I may be biased, but this one is much better than Paris opening ceremony. Not the same level as Beijing 2008 in my opinion, but better than this year’s Olympics.#sukmasarawak2024 https://t.co/zWQ9l38YVz
— Miss_T 🍉 (@mys_thee) August 17, 2024
Hai #Paris2024, kalau tak tahu nak buat acara pembukaan sukan, boleh ikut contoh acara pembukaan sukan #sukmasarawak2024 dari kami! #SUKMA2024! https://t.co/5lolFObL8S
— Bianglala (@ITS_BeanThrough) August 17, 2024
Selain itu, ada juga yang berpendapat Sarawak mampu menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa jika diberi peluang sebagai tuan rumah Sukan SEA.
SUKMA Sarawak dianjurkan di sembilan bahagian di Sarawak hingga 24 Ogos, membabitkan 488 acara dalam 37 jenis sukan, yang terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 wanita, dan 35 acara campuran.
Walaupun acara perasmian bermula pada jam 7 petang, orang ramai telah mula membanjiri pekarangan Stadium Sarawak sejak jam 3 petang.
Penonton turut dihiburkan dengan persembahan daripada barisan artis terkenal tanah air seperti Jaclyn Victor, Faizal Tahir, Marsha Milan, dan Bob Yusof.
Kelainan kali ini adalah penganjur menghimpunkan atlet terkemuka dari Bumi Kenyalang, termasuk legenda pecut Watson Nyambek, bekas perenang negara Daniel Bego, serta barisan penerjun seperti Bryan Nickson Lomas, Traisy Vivien Tukiet, Datuk Pandelela Rinong, dan Bertrand Rhodict Lises yang baru pulang dari Sukan Olimpik Paris 2024.
Pandelela dan peninju sensasi Sarawak, Daeloniel McDelon Bong, atau lebih dikenali sebagai ‘Kilat Boy’, diberikan penghormatan untuk membawa obor temasya dwitahunan itu.
Mengikut rekod, Sarawak pertama kali menganjurkan SUKMA pada tahun 1990, dan penganjuran terakhir berlaku lapan tahun lalu.