‘Penyondol’ boleh didenda RM5,000 atau 3 tahun penjara. Individu yang merosakkan rumah tangga atau dikenali sebagai ‘penyondol’, yang mengganggu kebahagiaan orang lain, boleh dikenakan denda oleh Mahkamah Syariah atau dipenjara.
Orang ketiga ini termasuk ahli keluarga sendiri, kekasih atau bekas kekasih, rakan, jiran dan lain-lain. Gangguan ini boleh berlaku dalam pelbagai cara.
Jika ‘penyondol’ didapati bersalah, dia boleh didenda sehingga RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah juga berkuasa untuk memerintahkan lelaki atau perempuan itu untuk kembali kepada isteri atau suaminya.
Peguam syarie, Noorazmir Zakaria, menyatakan bahawa walaupun undang-undang syariah berbeza setiap negeri dari segi nama dan nombor seksyen, namun dari segi kesalahan syariah dan hukumannya kebanyakkannya serupa sebanyak 90%.
Sebagai contoh, di Selangor ia dikenali sebagai Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 manakala di Wilayah Persekutuan ia dikenali sebagai Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
Di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, individu yang mengganggu keharmonian rumah tangga orang lain boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.
Hukuman ini tertakluk kepada tiga seksyen utama dalam enakmen tersebut. Pertama, Seksyen 32 melibatkan memujuk, membawa pergi atau mempengaruhi seorang perempuan yang sudah bersuami untuk meninggalkan rumah tangganya. Kedua, Seksyen 33 melibatkan menghalang pasangan yang sah berkahwin untuk hidup sebagai suami isteri. Ketiga, Seksyen 34 merangkumi menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana suami atau isteri untuk bercerai atau mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap pasangan atau keluarga.
Peguam syarie, Noorazmir Zakaria, menjelaskan bahawa kesalahan menghasut suami atau isteri untuk bercerai atau mengabaikan tanggungjawab mereka dihukum di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dengan hukuman yang serupa.
Walau bagaimanapun, sehingga kini belum ada kes di Malaysia di mana orang ketiga yang merosakkan rumah tangga didakwa di Mahkamah dan dikenakan tindakan undang-undang.
*Sebelum mengganggu rumah tangga orang, fikirkanlah dengan baik. Semoga bermanfaat!