Penyelam TLDM meninggal dunia ketika operasi Salvaj KD Pendekar

Photo of author

By Joe

Penyelam TLDM meninggal dunia ketika operasi Salvaj KD Pendekar. Seorang anggota penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disahkan meninggal dunia semasa menjalankan operasi salvaj untuk menyelamatkan bangkai Kapal Diraja (KD) Pendekar yang karam di perairan Tanjung Penyusop, Kota Tinggi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi DSP Mohd Syamsuri Mohamad mengesahkan bahawa laporan mengenai kejadian tersebut telah diterima, tetapi tiada butiran lanjut yang diberikan.

“Pihak kami telah menerima laporan dan siasatan sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Penyelam TLDM meninggal dunia ketika operasi Salvaj KD Pendekar

KD Pendekar tenggelam di perairan Tanjung Penyusop selepas mengalami kebocoran yang dipercayai disebabkan oleh pelanggaran dengan objek bawah air pada 25 Ogos lalu.

Bagaimanapun, usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru KD Pendekar sebelum kapal tersebut tenggelam.

Sebelum ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan detik-detik cemas apabila 39 kru Kapal Diraja (KD) Pendekar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diselamatkan selepas sebahagian kapal itu tenggelam akibat banjir besar dan kebocoran.
Insiden tersebut berlaku sekitar jam 12 tengah hari di kedudukan dua batu nautika tenggara Tanjung Penyusop, Johor.

Difahamkan, kesemua 39 kru kapal yang sedang menjalankan penugasan operasi pada waktu itu berdepan situasi cemas apabila air masuk dengan laju dan paras air mencapai catwalk selepas dipercayai berlaku pelanggaran dengan objek bawah air.

“Kebocoran mula dikesan di bilik jentera kapal sebelum merebak dengan cepat dan keadaan menjadi tidak terkawal. Walau bagaimanapun, semua kru berjaya diselamatkan setelah usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya.

“Fokus utama TLDM sekarang adalah untuk melaksanakan operasi salvaj bagi menyelamatkan kapal berkenaan,” menurut kenyataan TLDM yang dikeluarkan pada Ahad.

Susulan kejadian itu, lembaga siasatan khas telah ditubuhkan dengan segera oleh TLDM untuk mengenal pasti punca kejadian.

KD Pendekar, sebuah kapal perang jenis pembinasa laju, dibina oleh Karlskrona Varvet Shipyard di Sweden dan dilancarkan pada 11 November 1978 sebelum ditauliahkan pada 27 Julai 1979.

Baca Lagi:
Warga asing beri amaran, ‘datang Malaysia hati-hati, takut ketagih’
Lans Koperal polis kini kerja jaga parkir, hilang kerja kerana ‘rasuah’
Dua anggota polis parah tertimbus tanah ketika operasi musnah bom