Penyelam terkejut temui ikan dayung gergasi yang memegang rekod ikan bertulang terpanjang di dunia. Sekumpulan penyelam dipercayai menemui ikan dayung gergasi yang jarang dilihat di Daerah Ruifang luar pantai Taiwan, lapor USA Today.
Difahamkan penemuan ikan yang dikenali sebagai oarfish itu tular di media sosial menerusi satu rakaman yang dimuat naik oleh seorang pelatih selaman, Wang Cheng-Ru.
Berdasarkan video yang diambil pada Jun lalu, mereka menemui ikan tersebut di kawasan cetek di timur kawasan pantai tersebut. Penemuan ikan tersebut mencetuskan misteri kerana ia biasanya ditemui di 200 kaki (20 meter) hingga 1,000 kaki (304 meter) di bawah permukaan.
Walau bagaimanapun, sewaktu ditemui, badan haiwan tersebut dilihat mempunyai kesan luka padanya.
“Terdapat pelbagai haiwan yang menakjubkan boleh ditemui di sekitar luar pantai timur laut Taiwan. Namun, ini adalah kali pertama saya bertemu dengan ikan gergasi ini (oarfish),” kata Cheng-Ru kepada Newsweek.
View this post on Instagram
Ikan dayung (oarfish) atau nama saintifiknya Regalecus glesne merupakan sejenis ikan laut dalam. Kebiasaannya, penghuni laut dalam ini tinggal sekitar kedalaman 700 kaki (213 meter). Namun, ikan ini juga pernah ditemui pada kedalaman 3,280 kaki (1,000 meter).
Oarfish boleh ditemui di seluruh perairan laut kecuali Artik. Dari segi fizikal, haiwan ini berwarna keperakan dan badan yang tidak bersisik.
Muzium Sejarah Alam Florida berkata, ikan ini mendapat nama panggilannya dari tubuh badan yang panjang dan padat.
Menurut Guinness World Records, ikan ini merupakan pemegang rekod ikan bertulang terpanjang di dunia. Rekod tersebut diperolehi pada tahun 1963 menerusi tangkapan ikan itu sepanjang 50 kaki (15 meter) di News Jersey.
Bahaya Tak Ikan Ini?
Mungkin ramai yang menganggap bahawa ikan ini berbahaya kerana oarfish sangat jarang kelihatan namun tidak sebenarnya.
Meskipun bentuk badannya yang memanjang, ikan ini tidak mempunyai gigi dan hanya memakan plankton sahaja.
Sehingga kini, tiada laporan yang memberitahu bahawa oarfish boleh nengancam nyawa manusia.
Tanda Bencana
Menurut kepercayaan kuno, penampakan ikan berwarna perak itu memberitahu bahawa bakal berlaku bencana.
Dalam cerita rakyat Jepun, ikan oar dipanggil “ryugu no tsukai” yang membawa maksud “Utusan dari Istana Dewa Laut”.
Profesor Ichthyology di Universiti Kagoshima, Hiroyuki Motomura sewaktu memberitahu New York Post berkata, orang ramai tidak perlu risau dengan kemunculan ikan itu.
“Tiada bukti santifik mengenai kesahihan itu, jadi saya rasa orang ramai tidak perlu risau.
“Saya percaya pendorong ikan ini untuk naik ke permukaan adalah akibat keadaan fizikal mereka lemah. Disebabkan itu, mereka sering mati ketika ditemui,” katanya.