Penumpang tunggal terselamat dari 153 penumpang maut nahas pesawat terhempas di Lautan Hindi. Keajaiban, namun masih menjadi mimpi ngeri bagi seorang wanita yang menjadi satu-satunya penumpang terselamat selepas pesawat Yemenia 626 yang dinaikinya terhempas ke Lautan Hindi, 15 tahun lalu.
Metro UK melaporkan bahawa Bahia Bakari, yang kini berusia 27 tahun dari Evry, Perancis, sedang dalam perjalanan ke majlis perkahwinan datuknya di Comoros bersama ibunya sebelum mereka berdepan dengan insiden yang melibatkan pesawat membawa 153 penumpang.
Bahia, yang ketika itu berusia 12 tahun, bersama ibunya menaiki pesawat Airbus A310 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Yaman dari ibu negara Sanaa ke Moroni di pulau Comoros, di luar pantai Mozambique.
Namun, pesawat itu tiba-tiba terhempas ke dalam laut dalam keadaan gelap pada tengah malam, hanya beberapa saat sebelum ia dijadualkan untuk mendarat di Moroni pada 29 Jun 2009.
Hanya Bahia yang terselamat dalam insiden itu selepas gadis yang tidak pandai berenang itu terdampar pada serpihan di dalam air selama 13 jam.
Pada Mei 2022, Bahia menceritakan detik-detik yang membawa kepada nahas dan penyelamatannya semasa perbicaraan terhadap syarikat penerbangan itu di Perancis yang dihadiri oleh lebih daripada 100 ahli keluarga dan rakan mangsa, lapor Guardian.
“Penerbangan berjalan seperti biasa sehingga persiapan untuk mendarat.
“Saya mula berasa ada goncangan udara, tetapi tiada siapa yang bertindak balas, jadi saya memberitahu diri saya bahawa itu mesti normal.
“Tetapi kemudian saya rasa seperti ada renjatan elektrik melalui badan saya. Terdapat ‘lubang hitam’ di antara saat saya duduk di dalam pesawat dan saat saya mendapati diri saya di dalam air,” katanya.
Bahia terjaga di dalam air pada tengah malam, namun dalam keadaan keliru dan lemah akibat terkejut.
Gadis itu terpaksa berpegang pada serpihan pesawat sebelum bot penyelamat tiba 12 jam kemudian.