Penjual rugi RM18.26 juta dalam masa 20 minit, pekerja salah letak harga murah pada mesin basuh. Sebuah perniagaan kecil di China mengalami kerugian sebanyak AS$4.2 juta (kira-kira RM18.26 juta) dalam tempoh 20 minit akibat kesilapan dalam penetapan harga mesin basuh yang jauh lebih murah, sehingga menarik ramai orang untuk membelinya.
Kedai francais Little Swan Dongshan, yang juga mempunyai kedai fizikal di daerah Jixi, wilayah Anhui di tenggara China, memohon maaf dan meminta pelanggan untuk membatalkan pesanan mereka, lapor Red Star News.
Little Swan ialah jenama mesin basuh domestik terkemuka, dan pelanggan melihat harga yang sangat rendah di kedai francais tersebut.
Lebih 40,000 tempahan dibuat dalam talian melalui kedai itu dalam masa kira-kira 20 minit pada petang 28 Ogos lalu.
Kedai itu menjelaskan bahawa kesilapan tersebut berpunca daripada salah faham salah seorang pekerjanya mengenai peraturan keutamaan laman web beli-belah Tmall, yang dikendalikan oleh Alibaba Group.
Kedai tersebut akan mengalami kerugian sebanyak 30 juta yuan (RM18.35 juta) jika mereka memenuhi semua pesanan kerana harga asal produk ialah 70 juta yuan (RM43 juta), tetapi pelanggan hanya membayar 40 juta yuan (RM24.47 juta) akibat kesilapan tersebut.
Seorang pelanggan, Wang, berkata dia mengetahui tentang penurunan harga itu melalui media sosial pada 28 Ogos.
Dia membeli tiga mesin basuh dalam talian, termasuk dua yang biasanya dijual pada harga 1,699 yuan (RM1,039.22) setiap satu tetapi dijual hanya pada harga 299 yuan (RM183), manakala satu lagi yang sepatutnya 2,499 yuan (RM1,529) tetapi dilabelkan pada harga 439 yuan (RM269).
“Selepas melihat kenyataan permohonan maaf dari kedai itu, saya segera membatalkan pesanan,” katanya.
Menurut kenyataan kedai tersebut, kebanyakan pelanggan membeli beberapa mesin dan membuat pesanan secara profesional.
“Ini menunjukkan bahawa pesanan itu mungkin dibuat oleh perniagaan yang bertujuan untuk mendapatkan keuntungan, bukannya individu yang hanya mencari tawaran.
“Disebabkan salah faham, kami membuat kesilapan yang ketara.
“Kami sedar isu ini telah menyebabkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai dan telah mengganggu pasaran secara serius,” kata kenyataan itu.
Kedai francais Little Swan Dongshan menyatakan bahawa mereka hanya mempunyai enam pekerja dan memperoleh keuntungan minimum dalam beberapa tahun kebelakangan ini akibat kelembapan ekonomi.
“Puluhan ribu pesanan dan puluhan juta yuan adalah jumlah yang besar bagi kami. Kami amat kesal dengan semua pelanggan yang terjejas.
“Kami dengan rendah hati memohon agar anda memahami kesukaran kami dan bersetuju untuk menarik balik tempahan. Kami akan memulangkan wang anda secepat mungkin,” kata kenyataan syarikat tersebut.
Syarikat itu juga mengeluarkan video yang menunjukkan anggota kakitangannya yang membuat kesilapan harga.
“Saya amat memohon maaf atas kesilapan saya. Apabila saya menyedarinya, 20 minit telah berlalu.
“Saya tidak mampu untuk menampung kerugian walaupun saya menjual semua yang saya ada,” katanya.
Pihak berkuasa penyeliaan pasaran tempatan berkata mereka sedang menyiasat punca harga yang tidak betul dari kedai tersebut.
Zhao Liangshan, seorang peguam dari Firma Undang-undang Shaanxi Hengda, memberitahu portal berita The Paper bahawa jika syarikat dengan sengaja menyalah labelkan harga untuk mendapatkan keterlihatan dalam talian atau meningkatkan jualan, ia bertanggungjawab untuk memenuhi pesanan tersebut.
Sebaliknya, jika penetapan harga adalah disebabkan oleh kesilapan, katanya syarikat boleh membuat petisyen kepada mahkamah untuk membatalkan kontrak pembelian, membenarkan ia membayar balik pelanggan tanpa perlu menghantar barang.
“Syarikat itu mesti mengemukakan bukti kukuh yang menunjukkan ia sememangnya telah melakukan kesilapan tulen supaya mahkamah boleh membuat keputusan yang memihak kepada pembatalan kontrak pembelian.
Jika tidak, ia mungkin perlu memenuhi puluhan ribu pesanan dan berpotensi menjadi muflis,” kata Zhao.