Peniaga tidak boleh caj 20 sen untuk beg plastik. Semua pasar raya dan peniaga di negeri ini tidak dibenarkan mengenakan sebarang caj bagi penyediaan semua jenis beg plastik kepada pelanggan, termasuk beg plastik jenis biodegradasi.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar, berkata masih ada pasar raya yang mengenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik, sama ada jenis yang dibenarkan atau tidak.
“Larangan penggunaan beg plastik sekali guna, polisterina, dan penyedut minuman di seluruh negeri telah dikeluarkan sejak Oktober 2022.
“Peniaga boleh menyediakan beg plastik jenis biodegradasi berdasarkan permintaan.”
“Tiada caj boleh dikenakan kepada pelanggan untuk penyediaan atau pemberian beg plastik jenis biodegradasi yang dibekalkan secara sukarela oleh pemegang lesen perniagaan,” kata beliau dalam sidang media hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memberikan kelonggaran kepada peniaga dalam tempoh dua tahun, termasuk menjalankan pelbagai kempen untuk melarang penggunaan beg plastik.
Menurut beliau, dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri baru-baru ini, semua PBT telah diarahkan untuk lebih agresif dalam penguatkuasaan terhadap semua peringkat perniagaan.
“Sejak 2022, PBT telah menetapkan syarat dalam permohonan lesen perniagaan yang melarang penyediaan beg plastik kepada pelanggan. Tindakan ini adalah satu kesalahan dan melanggar syarat lesen.
“Masih terdapat syarikat besar dan kecil yang membekalkan plastik yang dilarang, seperti oxo-degradable atau jenis photodegradable, yang sangat berbahaya kepada manusia dan haiwan.
“PBT tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada mana-mana pihak yang melanggar syarat lesen ini, dan tindakan ini boleh membawa kepada pembatalan lesen,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa peniaga atau pasar raya yang melakukan kesalahan ini boleh dikenakan kompaun sebanyak RM250 dan jika gagal membayar, boleh diheret ke mahkamah.
Katanya, PBT masih memberikan notis peringatan kepada peniaga yang didapati melanggar peraturan, dengan 1,125 notis dikeluarkan di seluruh negeri.
“Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah mengeluarkan 14 notis, manakala Majlis Daerah Rembau (MDR) mencatatkan jumlah notis peringatan tertinggi iaitu sebanyak 500 notis, dengan peniaga pasar malam mencatatkan jumlah tertinggi,” jelasnya.