Peniaga salahkan ekonomi restoran ditutup, sekali kena sekolah dengan netizen. KRISIS ekonomi yang melanda dunia masa kini bukan sahaja menjejaskan pengguna malah turut mengancam golongan peniaga sehingga ramai yang terpaksa gulung tikar.
Seperti yang dialami salah seorang pengusaha sektor makanan dan minuman (F&B), salah sebuah premis cawangan makanan segera yang baru dibuka terpaksa ditutup kerana masalah kewangan.
Katanya, ia berpunca daripada beberapa siri kerugian yang dialami setiap bulan sehingga akhirnya mengambil keputusan untuk menutup premis berkenaan.
Bagaimanapun dia masih menzahirkan rasa syukur kerana beberapa cawangan lain dapat bertahan dan berharap operasi dapat diteruskan seperti biasa..
Enggan menyalahkan mana-mana pihak, dia turut menyatakan beberapa premis yang terletak berhampiran kedainya turut menamatkan operasi atas faktor kewangan.
Hantaran yang dibuat di halaman Facebook miliknya itu mendapat pelbagai reaksi dan rata-rata warga maya memberikan maklum balas positif di samping kata-kata perangsang supaya dia dapat kembali bangkit dengan perniagaan yang dijalankan.
Luahan yang dibuatnya itu turut dikongsikan seorang pelayar X yang turut mengakui terdapat banyak premis berasaskan perniagaan F&B terpaksa gulung tikar.
“Makin banyak kedai F&B tutup. Terkini, restoran burger popular cawangan Puncak Alam (Selangor) pun dah tutup operasi,” ciapnya ringkas.
Menyifatkan taraf ekonomi masa kini semakin mencabar, dia menyatakan situasi ini turut mengakibatkan kehidupan masyarakat terjejas.
“Hidup ini memang keras!” tambahnya lagi.
Meskipun perkongsian asal di halaman Facebook mendapat maklum balas positif, namun kebanyakan pelayar di ruangan X memberikan komen negatif dengan menyatakan hidangan yang dijualnya tidak setanding produk makanan segera yang telah lama berada di pasaran.
Bukan itu sahaja, harga yang dijualnya juga lebih mahal serta tidak berbaloi.
“Kat Malaysia ni bab makanan tak perlu risau… kalau sedap mesti tak tutup. Mahal macam mana pun orang tetap akan beli, ceruk celah mana pun orang akan cari.
“Maaf tuan saya pernah makan situ untuk sokong, burger dia tidak sedap… ingatkan mungkin salah rasa atau hari itu saja tak sedap, pergi kali kedua masih sangat tak sedap. Memang betul ekonomi mencabar tapi tak sedap siapa nak sokong?
“F&B kita dah lama tepu, terlalu banyak pemain. Tak banyak yang berinovasi… banyak kedai rasa sama jadi tak hairan jika banyak yang ditutup.
“Sedih tapi perlu diakui, burger dia tak memuaskan dan harga agak tinggi,” ujar beberapa warga maya.
Tidak kurang juga yang beranggapan pemilik syarikat tidak membuat kajian sedalamnya sebelum membuka cawangan yang banyak.
Mana tidaknya, warga maya menyatakan jenama yang diperkenalkan itu masih belum dikenali ramai dan tidak sewajarnya mempunyai banyak cawangan.