Pengusaha hotel Tanjung Bidara tanggung rugi, tempahan bilik semua dibatal gara-gara buaya. Pengusaha chalet dan hotel di pantai peranginan Tanjung Bidara dan Pengkalan Balak di sini terpaksa menanggung kerugian akibat pembatalan tempahan bilik oleh pelanggan disebabkan kehadiran seekor buaya di kawasan itu, sejak kebelakangan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, penampakan sang bedal itu telah menimbulkan risiko keselamatan dan kegusaran kepada orang awam.
Menurut beliau, pihaknya menerima aduan daripada persatuan dan pengusaha chalet di Masjid Tanah berhubung tindakan pelanggan yang membatalkan tempahan bilik, setelah mengetahui terdapat haiwan pemangsa berkeliaran di pesisir pantai.
“Kita dapat banyak aduan mengatakan banyak tempahan (bilik) dibatalkan kerana takut dengan kehadiran buaya. Kita ambil maklum terhadap saranan ini, maka langkah awal telah diambil untuk membantu pengusaha chalet dan pengunjung.
“Justeru, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Majlis Perbandaran Alor Gajah melaksanakan operasi mencegah, menangkap dan memindahkan buaya.
“Perhilitan akan memasang dua perangkap di Tanjung Bidara dan Kuala Linggi untuk menangkap buaya yang berkeliaran. Ini bagi memastikan keselamatan orang awam semasa mengunjungi pantai perkelahan sentiasa terjamin,” katanya dalam sidang akhbar ketika operasi menangkap dan memindahkan buaya di sini hari ini.
Pada 29 Disember 2022, Utusan Malaysia melaporkan, Perhilitan Melaka belum menerima sebarang aduan melibatkan buaya setakat ini.
Pengarahnya, Mohd. Firrdhaus Mahmood berkata, Perhilitan bagaimanapun mengambil maklum terhadap video yang tular di media sosial berhubung kehadiran reptilia itu di kawasan orang ramai.
Katanya, tindakan segera telah diambil dengan melakukan pengawasan di sekitar lokasi terbabit.
Ab. Rauf berkata, setakat ini belum ada aduan rasmi membabitkan serangan atau kacau ganggu buaya terhadap nelayan dan pengunjung di sepanjang pantai peranginan berkenaan.
Katanya, penelitian terhadap video dan laporan tular dalam media sosial mendapati, buaya itu berkeliaran pada hujung minggu ketika orang ramai beriadah di kawasan pantai.
“Tidak ada kes setakat ini tetapi telah banyak dilaporkan dalam media sosial. Kita ambil perhatian sebelum kejadian tidak diingini berlaku dan mulakan dengan menelusuri pantai untuk melihat sekiranya ada pergerakan buaya.
“Hanya seekor buaya sahaja yang dikesan berkeliaran. Jadi kita akan meletakkan kawasan ini untuk perhatian semua pihak berwajib supaya dapat membantu menyelesaikan masalah ini,” ujarnya.