Pengurus jenazah dedah ‘tali pengikat kafan’ jadi buruan kaki pancing, ada sanggup bayar sampai RM600

Photo of author

By Joe

Pengurus jenazah dedah ‘tali pengikat kafan’ jadi buruan kaki pancing, ada sanggup bayar sampai RM600. Percaya atau tidak, barangan seperti tali pengikat kain kafan, sarung tangan, kapur barus, sabun, dan pelbagai kelengkapan pengurusan jenazah kini menjadi buruan individu tidak bertanggungjawab.

Kononnya, barangan ini diperlukan untuk digunakan dalam perubatan tradisional, pelaris, dan juga untuk kaki pancing.

Menurut laporan Harian Metro, Pengerusi Persatuan Kebajikan Pengurusan Jenazah Warga Terengganu (PJWT), Wan Rosli Wan Mamat, terdapat segelintir individu yang datang ke pusat pengurusan jenazah untuk mendapatkan barangan tersebut.

Pengurus jenazah dedah 'tali pengikat kafan' jadi buruan kaki pancing, ada sanggup bayar sampai RM600

Beliau, yang berkhidmat sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam di Pejabat Agama Daerah Marang, menyatakan bahawa golongan ini memberi alasan ingin mendapatkan barangan tersebut untuk tujuan perubatan dan pelaris perniagaan.

“Lebih mencuit hati, ada individu yang datang untuk mendapatkan tali pengikat kain kafan, dan apabila ditanya tujuannya, mereka menjawab ia digunakan untuk joran memancing.
“Apa yang dilakukan itu jelas menunjukkan perbuatan khurafat kerana bergantung kepada sesuatu untuk mendapatkan sesuatu, sedangkan sebagai seorang Muslim, kita sepatutnya memohon kepada Allah SWT,” katanya.

Ada yang sanggup membayar harga tinggi.

Menurut Wan Rosli, dia melihat pelbagai ragam ketika golongan tersebut ingin mendapatkan barangan berkenaan, dan mereka sanggup membayar dengan harga yang tinggi.

Malah, katanya, ada yang sanggup membayar RM500 hingga RM600 hanya untuk tali pengikat kain kafan.

“Sepanjang 25 tahun menjadi pengurus jenazah, banyak kerenah yang saya hadapi, tetapi saya tidak melayani permintaan yang dianggap melampau ini, selain bimbang ia disalahgunakan.

“Saya berharap permintaan ‘pelik’ seperti ini dapat dihentikan kerana ia berkait dengan akidah serta hukum hakam agama dan kebersihan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pengasas PJWT, Che Mohd Ibrahim Che Ghani, berkata persatuan itu telah menguruskan kira-kira 2,300 jenazah sejak beroperasi sebagai persatuan selama empat tahun.

“Kami tidak menetapkan harga bagi golongan yang mampu menggunakan khidmat mandi jenazah, kafan, dan perkhidmatan van. Sebaliknya, kami menyerahkan kepada waris untuk memberikan sumbangan seikhlas hati.

“Bagi asnaf, kami menyediakan set kafan, mandi jenazah, dan van secara percuma. Manakala, waris asnaf dan golongan berkemampuan hanya perlu membayar RM300 untuk kos keranda,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Baca Lagi:
Wanita mahu solat dakwa dihalau oleh AJK masjid kerana sudah ‘lewat’ malam
NASA dedah suara ngeri yang menakutkan dari lohong hitam
Peniaga jual aiskrim Malaysia dengan ‘harga kayangan’ RM6 sebatang di kecam netizen