Pengemis ini berjanji tak akan mengemis lagi selepas kantoi ada duit simpanan sebanyak RM149k. Tak sangka seorang pengemis miliki wang simpanan sebanyak 490 juta rupiah (RM149.069) menjadi bualan ramai selepas dua buku simpanan bank miliknya tular.
Memetik laporan Tribunnews, pengemis berkenaan bernama Lutfi Haryono berusia 47 tahun yang menetap di bandar Gorontolo.
Susulan tular gambar buku simpanannya, Lutfi dipanggil polis untuk memberi keterangan di Balai Polis Lurah Ipilo bandar Gorontalo pada 2 Jun lalu.
Jurucakap polis, Bripka Romi berkata, dalam keterangannya, Lutfi mengaku wang simpanan dalam kedua-dua bank itu adalah miliknya.
“Menurut Lutfi, dia suka memaksa penduduk untuk mendapatkan wang.
“Soal siasat dilakukan juga mendapati Lutfi sudah mengemis lebih 13 tahun iaitu selepas berpisah dengan isterinya.
“Lutfi menggunakan wang hasil mengemis untuk keperluan peribadi seperti membina rumah,” katanya.
Menurutnya, Lutfi mengaku, wang itu bukan sepenuhnya hasil mengemis kerana pernah bekerja di sebuah kedai makan.
Lutfi juga berhasrat untuk berhenti mengemis dan akan berniaga di warung serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.