Pengarah TNB letak jawatan serta-merta. Datuk Seri Asri Hamidon telah meletakkan jawatan sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkuat kuasa 5 Januari 2023.
TNB dalam makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan, Asri juga akan meletakkan jawatan sebagai pengerusi jawatankuasa tender pengarah.
Selain itu, beliau yang juga bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) juga meletakkan jawatan sebagai ahli jawatankuasa pencalonan dan imbuhan syarikat serta ahli jawatankuasa pelan insentif jangka panjang pengarah syarikat utiliti nasional.
“Lembaga Pengarah TNB menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Asri Hamidin @ Hamidon di atas sumbangannya kepada syarikat ini,” katanya pada Jumaat.
Asri yang dilantik sebagai KSP pada 2020, sebelum ini dilapor dicutikan setelah ketiadaannya semasa sambutan tugas rasmi Datuk Seri Anwar sebagai Menteri Kewangan di bangunan Perbendaharaan pada 6 Disember lalu.
Susulan itu, Anwar berkata, pertukaran melibatkan KSP adalah perubahan biasa membabitkan kakitangan awam.
Menurut Anwar, pertukaran dilakukan apabila membabitkan kenaikan pangkat atau perubahan jabatan dan urusan.