Pengantin kayuh basikal kembar sejauh 5 km. Memori indah tercipta buat pasangan pengantin baharu apabila mereka diraikan dalam majlis perkahwinan dengan konsep unik, melalui Kayuhan Santai Pengantin bersama 100 pengayuh basikal di Trek Basikal Bukit Indah, Taman Bukit Indah, di sini, petang tadi.
Muhammad Rifaie Mohamad Suhaimi, 24, dan isteri, Hartina Ayu Basri, 23, mengayuh basikal kembar sejauh lima kilometer sambil mengenakan pakaian pengantin bertemakan basikal lengkap dengan tanjak, kain layah (‘veil’), dan mahkota.
Menurut Muhammad Rifaie, dia dan isteri sangat gembira dengan cara mereka diraikan kerana konsep ini jarang dilakukan dan pastinya akan menjadi kenangan manis yang tak akan dilupakan sepanjang hayat.
“Biasanya, pengantin diraikan bersanding di atas pelamin dengan pakaian cantik. Tetapi kami pula berpeluh mengayuh basikal. Pada mulanya rasa pelik dengan konsep ini, tetapi selepas ibu menjelaskan hasratnya, saya faham dan sangat teruja,” katanya.
Dia turut menambah, ketika mengayuh, dia merasakan ikatan yang erat dengan peserta kayuhan yang kebanyakannya merupakan rakan-rakan ibunya.
Sementara itu, Rosida Abd Mutalib, 53, ibu kepada pengantin lelaki, berkata bahawa program ini diadakan khas sempena majlis perkahwinan anak keduanya, Muhammad Rifaie, yang bernikah pada bulan Julai lalu.
“Kami memilih konsep ini kerana keluarga kami memang berasal dari kalangan pengayuh basikal. Program ini juga adalah kali kedua kami adakan. Kali pertama pada tahun 2013 sempena majlis perkahwinan anak buah saya, dan kami teruskan semula walaupun sudah 11 tahun berlalu,” katanya.
Menurutnya, majlis ini adalah satu tanda kasih sayang kepada anaknya yang melangkah ke alam perkahwinan, dan dia berharap kebahagiaan rumah tangga pasangan itu akan kekal berpanjangan.