Penderma sindir rumah tak siap-siap, lelaki ini nekad pulangkan balik duit diderma selepas 6 tahun.Kos barangan binaan dan pertukangan yang semakin meningkat menyebabkan ada individu memilih untuk membina rumah idaman mereka sendiri.
Walaupun prosesnya memakan masa yang lama, kebanyakan mereka berpuas hati kerana dapat memiliki rumah tanpa perlu berhutang.
Berkongsi pengalaman di laman Facebook, Muhammad Ridzuan menyatakan bahawa kos untuk membina rumah sendiri juga adalah tinggi.
Oleh itu, asas rumah yang dibina sejak tahun 2018 masih belum siap walaupun sudah enam tahun berlalu.
“Ini rumah saya, dah bertahun-tahun tak siap. Dari tahun 2018 lagi, sampai sekarang masih belum siap.
“Pokok-pokok dah tumbuh dalam rumah saya tu. Semalam saya pergi mesin rumput untuk sambung sikit-sikit… buat lantai dulu sebab tak mahu pokok tumbuh balik.
“Untuk sambung semua kerja, perlu belanja RM80,000 juga. Saya memang tak mampu,” luahnya menerusi satu hantaran di media sosial.
Mengimbau proses awal pembinaan rumahnya, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini berkata, terdapat beberapa individu yang telah tampil menghulurkan bantuan.
Katanya, dia menerima sumbangan wang daripada beberapa individu yang berniat untuk membantu meringankan bebannya dalam menyiapkan rumah impiannya.
“Masa mula-mula bina dulu, ada la hamba Allah yang kononnya nak tolong saya siapkan rumah ni. Kononnya nak ringankan beban saya.
“Ada yang bagi RM50, RM10, dan RM100… saya nak tolak pun takut mereka kata ‘tak pandang RM10’. Jadi saya ambil je,” ujarnya.
Menurut Muhammad Ridzuan, tindakannya menerima ‘sedekah’ tersebut mengundang masalah apabila dia kini disindir oleh salah seorang pemberi sumbangan kerana rumah yang dibina masih belum siap.
Dia yang berniaga nasi lemak berkata, individu tersebut bukan sahaja mengungkit ‘pertolongan’ yang diberikan, malah mendakwa dia menipu tentang pembinaan rumah.
“Satu hari, individu yang bagi RM10 tu datang tengok rumah saya, dia tanya kenapa rumah tak siap lagi. Saya pun jawab tak ada duit untuk sambung (bina).
“Dia kata, ‘dah bagi (duit) hari tu, nampak sangat penipu.’ Saya jadi bingung sekejap, bagi RM10 tapi nak suruh siap sebuah rumah,” ujarnya.
“Saya pun tanya, ‘Bagi RM10,000 ke?’ Dia ingat saya ‘menganjing’ (sindir) sebab hanya bagi RM10,” katanya yang turut mengembalikan RM10 kepada individu tersebut.
Susulan kejadian yang menimpa dirinya, dia menasihati pengikut media sosial supaya tidak mengambil sumbangan daripada orang luar.
Menjengah ke ruangan komen, kebanyakan pengikutnya memberi kata-kata sokongan dan mendoakan supaya dia berjaya menyiapkan rumah yang dibina atas usaha sendiri.
“InsyaAllah, tak lama lagi siap tu. Akak ni hanya mampu sewa je.
“Pelan-pelan buat, nanti siap juga. Rezeki ada tanah sendiri, boleh buat, kalau tak ada simpan duit dulu… boleh buat sikit-sikit.
“Bagi RM10 tapi cakap macam tu? Eloklah diberi balik duit dia tu.
“Rezeki datangnya daripada Allah. Kita kena yakin di samping berusaha, berdoa, dan bertawakal,” ujar beberapa warga maya.