Penceramah teknologi maklumat bongkar hampir setengah juta data peribadi rakyat Malaysia dijual di platform e-dagang terkemuka. Kecoh di media sosial pada Rabu apabila seorang penceramah teknologi maklumat, Adil Hidayat Rosli, mendakwa hampir setengah juta data rakyat Malaysia dijual di sebuah platform e-dagang terkemuka.
Dakwanya, data itu dijual oleh pihak yang tidak bertanggungjawab secara terbuka di platform berkenaan dan boleh diakses sesiapa sahaja.
“Ada satu seller (penjual) di S****e ini yang menjual hampir 500,000 data rakyat Malaysia.
“Apabila anda beli maklumat tersebut, seller akan menghantarkan kepada anda satu fail Excel yang mengandungi 488,392 maklumat individu berkenaan.
“Antara maklumat yang terkandung dalam data tersebut ialah nombor telefon, nombor kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri dan alamat,” katanya melalui satu hantaran Facebook miliknya.
Tambah Adil Hidayat atau lebih dikenali dengan nama Pendakwah Teknologi dalam media sosial, penjual tersebut pada ketika ini sudah berjaya menjual beberapa salinan kepada pembeli.
“214 salinan dijual dan kebanyakan pembeli memberikan ‘5 STAR rating’ kepada penjual ini.
“Malah ada yang memberikan komen positif seperti seller bagus, laju buat kerja.
“Order tak sampai lima minit dah dapat. Seller janji 500,000 tapi kurang sikit dapat bawah 490,000.
“Apa yang lagi menarik, saya semak dan mendapati review pertama yang ditinggalkan adalah pada pukul 1.16 pagi, 20 Jun lalu.
“Maksudnya sudah lebih setengah tahun maklumat ini dijual di S****e,” katanya.
Pada masa sama, dia yang juga pempengaruh media sosial meminta orang ramai membuat aduan kepada pihak S****e agar platform penjual itu segera ditutup.
Hasil pemerhatian kami di platform e-dagang berkenaan, penjual tersebut masih lagi aktif menjalankan perniagaannya.
Setiap data yang dijual bermula dengan harga RM60 setiap satu fail satu fail Excel.
Setakat berita ini ditulis, kami sudah cuba menghubungi platform e-dagang berkenaan namun belum mendapat respons.