Pemuda OKU dapat bantuan dari MAIWP terus buka bisnes jual burger, tiap kali niaga akan sedekah 10 burger percuma. Kekurangan yang ada pada dirinya bukanlah penghalang untuk pemuda ini mencari rezeki sendiri meskipun hanya menggunakan kerusi roda sepenuhnya untuk bergerak.
Muhamad Fakhruddin Mohamed Akbar, 35, menjual burger jalanan jenama GTR Burger di Maluri, Cheras, Kuala Lumpur sejak 11 Julai lalu, malah dia juga menjual makanan kucing dan gula-gula kapas.
Pemuda berstatus orang kelainan upaya (OKU) berkata inginannya untuk bergelar usahawan kini menjadi nyata apabila menerima dana daripada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Saya memang dah lama teringin nak buka perniagaan burger sendiri sebelum ni. Jadi saya hubungi pengasasnya dan jelaskan hasrat nak berniaga dekat dia.
Dia pun beritahu saya cara-cara nak dapatkan bantuan zakat bagi memulakan perniagaan. Saya syukur sangat impian nak ada perniagaan sendiri akhirnya tercapai.
Gerai ni memang direka khas untuk saya kendalikan perniagaan burger jalanan. Sesuai dengan pergerakan menggunakan kerusi roda untuk buka dan tutup kedai sendiri bermula pukul 6 petang sampai 1 pagi setiap hari.
Dengan ketekunan menguruskan perniagaannya telah mendapat perhatian orang ramai yang melihat satu perkongsian pelanggan yang tular baru-baru ini.
Sejak mula berniaga ni, jualan okay saja. Biasalah kalau hari hujan orang tak ramai membeli. Tapi setiap hari saya boleh dapatkan lebih kurang RM100 keuntungan berniaga.
Memandangkan sekarang orang ramai pun mula ada kesedaran tentang isu boikot produk berkaitan dengan Israel, saya sendiri boleh nampak pelanggan mula mencari dan support burger jalanan termasuklah burger saya.
Saya pun gunakan peluang selepas viral ni untuk buat sales. Sebagai menghargai sokongan orang ramai juga, setiap kali berniaga saya akan berikan 10 burger percuma kepada golongan OKU dan asnaf.
Lebih senang disapa sebagai Faka yang berasal dari Kuantan, Pahang berkata dia terjatuh dari sebuah bangunan sewaktu bekerja pada usia 19 tahun.
Walau bagaimanapun, musibah yang menimpa dirinya ini tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus mencari rezeki halal walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
Waktu muda dulu saya tergelincir dan terjatuh dari bangunan tingkat enam dan mengalami lumpuh dari pinggang sampai ke kaki. Jadi dua-dua kaki sudah tidak lagi boleh guna. Saya drive kereta pun guna tangan saja.
Tapi kekurangan diri ni tak mematahkan semangat saya. Bagi saya, hidup ni keras tapi putus asa itu ‘haram’. Nak tak nak kita tetap kena teruskan.
Saya pun sudah mula banyak buat video TikTok untuk bagi kesedaran dekat orang ramai terutama golongan OKU yang kita pun boleh berjaya macam orang lain.
Dalam pada itu, Faka turut berkongsi mengenai kehidupannya yang telah mendirikan rumahtangga dengan wanita pilihan hatinya, Norhanisah Abdullah, 39 yang berstatus OKU sejak lahir.
Pasangan ini menetap di Setapak dan turut dikurniakan dikurniakan dua cahaya mata.
Isteri saya pun berkerusi roda juga. Dari kecil lagi doktor diagnosis dia ada penyakit osteoporosis imperfecta. Seperti saya, semangat dia juga kuat untuk bekerja mencari duit sara keluarga.
Dia buat servis mekap untuk sebarang majlis khas. Sebagai suami saya sentiasa beri sokongan dengan menemani dia kalau ada job mekap apabila menerima jemputan.
Saya bersyukur sangat berkat kesabaran dan kegigihan kami membuatkan rezeki keluarga tak putus-putus. Sampaikan kami pernah dijemput oleh beberapa pereka fesyen jenama pakaian dan kasut untuk menggayakan barangan mereka sebagai model.
Terdahulu, seorang pemuda dibuli kerana dilahirkan dengan sebelah tangan telah berjaya menjadi atlet larian profesional.