Pemenang pingat emas Olimpik dedah duit kemenangan dicuri senyap-senyap dengan ibu sendiri. Di sebalik kejayaannya meraih dua pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024, atlet gimnastik dari Filipina, Carlos Yulo, ternyata menyimpan kisah duka yang telah lama membelenggu dirinya.
Kisah tersebut menjadi tular di media sosial selepas Carlos memuat naik video di TikTok, yang mendedahkan bahawa ibunya, Angelica Yulo, didakwa telah mengeluarkan wang daripada akaun banknya tanpa sebarang kebenaran.
Menurut laporan media, Angelica telah mengendalikan akaun bank Carlos dan juga telah merahsiakan wang kemenangan Carlos dari pertandingan yang telah disertainya sejak tahun 2020.
Walaupun Angelica telah menafikan tuduhan tersebut, dia mengakui telah memindahkan wang ke akaun peribadinya kononnya untuk simpanan masa depan Carlos.
“Jika saya tidak memeriksa sendiri, saya tidak akan tahu bahawa saya tidak pernah menerima wang insentif, dan saya juga tidak pernah memintanya. Sepatutnya jumlahnya enam angka, bukan hanya P70,000 (~RM5.4K),” kata Carlos.
Carlos menyatakan bahawa dia sebenarnya tidak kisah mengenai wang tersebut, tetapi dia mempersoalkan cara ibunya yang secara ‘senyap-senyap’ menguruskan wang itu tanpa persetujuannya.
Hubungan dingin dengan ibu kerana teman wanita
Dalam pengakuan lain, Carlos mendedahkan bahawa hubungan mereka telah lama dingin disebabkan oleh ketidaksetujuan ibunya terhadap hubungannya dengan teman wanita.
Dia mendakwa ibunya mengatakan bahawa teman wanitanya, Chloe San Jose, hanya ingin mengambil kesempatan terhadapnya.
Susulan itu, Carlos menegaskan bahawa teman wanitanya tidak bersamanya hanya kerana wang yang dimilikinya. Chloe sendiri mempunyai pendapatan dan sedia membantunya ketika dia berada dalam keadaan sukar.
@carlosedriel @kulowi ʚ(╹.╹)ɞ ♬ original sound – Carlos Yulo
Carlos bagaimanapun telah memaafkan ibunya dan berharap keluarganya dapat berubah dan hidup dengan tenang di Filipina.
Dalam perkembangan terbaru, Angelica melalui satu sidang media khas telah membuat permohonan maaf kepada Carlos dan berharap pertikaian yang berlaku dapat diselesaikan secara tertutup.
Sebelum ini, Angelica dikritik oleh netizen kerana memuat naik gambar bersama atlet Jepun yang turut bersaing di Sukan Olimpik Paris, tetapi tidak berkongsi atau mengucapkan tahniah kepada Carlos ketika anaknya meraih pingat emas.