Pembantu rumah Perdana Menteri kumpul kekayaan lebih RM159 juta. Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, mengambil langkah tindakan susulan berikutan banyak skandal rasuah yang melibatkan bekas pembantunya yang kini mengembara dengan helikopter selepas mengumpul kekayaan AS$34 juta (RM159.05 juta).
Tuduhan yang memenuhi liputan media di Bangladesh baru-baru ini melibatkan bekas ketua tentera, bekas ketua polis, pegawai kanan cukai, dan pegawai pengambilan kakitangan.
Hasina menegaskan bahawa masalah rasuah yang berlarutan akan diselesaikan.
“Rasuah telah menjadi masalah yang berlarutan.
“Kes pincang ini mesti dibersihkan… kami telah mengambil langkah-langkah,” katanya kepada pemberita.
Beliau menyatakan bahawa langkah-langkah yang diambil termasuk tindakan terhadap bekas pembantu rumahnya.
“Lelaki yang bekerja sebagai peon di rumah saya, kini memiliki 400,00,00,000 Taka (AS$34 juta).
“Dia tidak boleh bergerak tanpa helikopter. Bagaimana dia memperoleh begitu banyak wang? Saya mengambil tindakan segera setelah mengetahui perkara ini,” katanya.
Hasina tidak pasti siapa pembantu rumah tersebut, tetapi beberapa akhbar mengenalinya sebagai Jahangir Alam, yang dipanggil “Pani” kerana latar belakang pekerjaannya.
Akhbar harian Dhaka Tribune melaporkan individu itu menggunakan kedudukannya di pejabat Hasina untuk terlibat dalam “melobi, manipulasi tender dan rasuah”.
Laporan mengenai lelaki tersebut telah tersebar dengan cepat di media sosial dengan pihak pembangkang menuduh pentadbiran Hasina terlibat dalam rasuah yang meluas.