Pemandu teksi jujur pulangkan beg pelancong Jepun berisi wang tunai RM20,000. Seorang pemandu teksi telah mengembalikan wang tunai berjumlah 154,000 baht (RM20,000) kepada seorang pelancong Jepun yang secara tidak sengaja tertinggal wang tersebut di dalam kenderaannya, lapor laman berita Thaiger.
Chum Khamwiangsa, 63, mengambil penumpang tersebut dari Wat Arun pada 2 Mac lalu sebelum menghantarnya ke Soi Pansook, Bangkok.
Ketika beliau ingin mengambil penumpang lain, Chum menyedari terdapat sebuah beg berwarna hitam ditinggalkan di tempat duduk belakang keretanya.
Saluran berita Channel 7 melaporkan, beg tersebut mengandungi dua dompet, kad kredit milik wanita Jepun bernama Ayaka, cek, dan wang tunai dalam mata wang dolar Amerika Syarikat, yen Jepun, won Korea Selatan, serta dong Vietnam.
Jumlah keseluruhan wang tunai yang ditemui adalah kira-kira 154,000 baht.
Chum kemudiannya membawa beg hitam berisi wang tunai itu ke Stesen Radio Phithak Santirat FM91 dan meminta bantuan Polis Diraja Thailand untuk mengembalikannya kepada wanita tersebut.
Stesen radio tersebut dengan bantuan beberapa jabatan kerajaan akhirnya berjaya mengesan hotel tempat pelancong itu menginap.
Namun, pihak hotel memaklumkan bahawa wanita tersebut sudah pulang ke Jepun.
Dia kemudian meminta seorang wakil hotel untuk mengambil semula barang-barang berharga itu bagi pihaknya serta melahirkan rasa terima kasih kepada Chum atas kejujuran yang ditunjukkan.