Pemandu teksi ditemukan maut berlumuran darah, saksi dedah semasa kejadian. Seorang pemandu teksi ditemukan maut dalam keadaan seluruh badan berlumuran darah di dalam keretanya berdekatan sebuah klinik kesihatan di Kampung Seberang Takir, malam tadi. Mangsa yang berusia 51 tahun itu ditemukan di tempat duduk belakang kereta tersebut dengan beberapa kesan luka di bahagian leher.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu iaitu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, pihaknya telah menerima maklumat mengenai sebuah teksi yang mencurigakan di tempat kejadian pada jam 10.56 malam sebelum anggota polis bergegas ke tempat kejadian.
“Pihak polis yang tiba di lokasi mendapati dua lelaki berada dalam kereta sewa itu dengan seorang cedera parah dan tidak bergerak di tempat duduk belakang dan seorang lagi berada di tempat duduk pemandu.
“Siasatan awal menunjukkan mangsa ialah pemandu teksi terbabit, selain turut menemui dan merampas sebilah pisau di tempat alas kaki bahagian pemandu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Pegawai perubatan mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi dipercayai suspek itu cedera di bahagian jari. Kedua-dua lelaki itu dipercayai bergelut sebelum pemandu teksi yang cedera parah itu meninggal dunia.
Katanya lagi, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk siasatan lanjut manakala suspek yang berusia 29 tahun itu pula ditahan. Motif atau punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.
“Suspek yang ditahan akan dibawa ke mahkamah pagi ini bagi mendapatkan permohonan reman untuk membantu siasatan berhubung kes ini,” tambahnya.
Baca Lagi: