Pemandu lori redah ‘kepala air’ selamatkan satu keluarga terperangkap raih pujian ramai. Tindakan pemandu sebuah lori yang membantu pemandu dan penumpang sebuah kereta yang terperangkap akibat limpahan air dipercayai berlaku berdekatan Sungai Lebey, di sini semalam, mendapat pujian warganet.
Melalui satu video berdurasi lebih dua minit yang tular, lori tersebut dilihat berhenti berdekatan kenderaan yang terperangkap dalam kejadian seakan kepala air itu.
Tindakan tersebut membolehkan pemandu dan penumpang kenderaan yang terperangkap berpindah ke lori berkenaan, sekali gus menyelamatkan diri daripada dihanyutkan limpahan air deras.
Kejadian limpahan air di laluan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli itu turut membawa bersama sisa kayu dari hutan berdekatan yang bertebaran di sepanjang laluan arus, menyebabkan kenderaan ringan yang melalui arus limpahan terkandas.
Seorang lelaki yang turut terlibat dalam kejadian limpahan air itu, Mohd Nazwan Nordin, ketika dihubungi mengakui terkandas selama empat jam disebabkan kejadian tersebut semasa dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Jeli di Kelantan.
Walaupun tidak menyaksikan sendiri insiden lori menyelamatkan individu yang terperangkap dalam kereta di situ, dia mengakui kejadian seakan kepala air itu menyebabkan dia dan keluarga terkandas bermula kira-kira jam 11 malam hingga 4 pagi tadi.
“Keadaan di situ amat gelap dan jalan sesak dengan kenderaan kerana kebanyakan orang memberhentikan kenderaan memandangkan laluan tersekat dengan arus air yang membawa sisa kayu.
“Empat jam juga kami tersekat di situ. Dalam tempoh itu, saya sempat keluar dari kereta dan menuju ke lokasi arus limpahan kira-kira 100 meter dari kereta. Di situ saya hanya melihat sebuah lori dari arah bertentangan (Jeli) menuju ke Gerik… itu sahaja,” katanya.
Terdahulu, hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan sekitar Gerik dilanda banjir kilat, termasuk pekan dan kawasan Bandariang.
Setakat jam 12 tengah hari tadi, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak memaklumkan 101 mangsa daripada 37 keluarga telah ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Hulu Perak.
@belanga_bocoq #sungailebeyproblem#kepalaair#rescue #alhamdulillahallakullihad๐ต๐ธ #fypใท โฌ keinsafan – ๊ง ๐น.๐๐๐_๐ถ๐๐๐๐๐๐๐ ๊ง