Pemandu e-hailing cemas pelanggan minta hantar jenazah pukul 12 malam. Seorang pemandu teksi e-hailing berkongsi kisah seram dan ketakutan yang dialaminya, apabila diminta menghantar jenazah ke satu lokasi, lapor akhbar Suryamalang kelmarin.
Menurut pemandu tersebut, pelanggan meminta agar jenazah itu diletakkan di tempat duduk hadapan, bersebelahan dengan pemandu. Alasan yang diberikan ialah kerana jenazah itu kaku.
“Bayangkan pada pukul 12 tengah malam saya mendapat pesanan seperti ini,” katanya di platform X.
Dia kemudian berkongsi tangkapan skrin perbualan mesej bersama pelanggannya. Individu tersebut meminta bantuan pemandu itu untuk membawa jenazah.
Dalam perbualannya, pelanggan itu menerangkan bahawa dia memesan perkhidmatan e-hailing kerana tiada ambulans yang boleh menghantar jenazah itu di kawasannya.
Walau bagaimanapun, tidak dinyatakan lokasi penghantaran jenazah tersebut dan keadaan selepas pemandu itu tiba di destinasi.