Peluncur ombak maut di ditusuk ikan todak di dada. Seorang peluncur ombak dari Itali meninggal dunia selepas ditusuk ikan todak (Xiphias gladius) semasa meluncur di pantai Sumatera, Indonesia.
Giulia Manfrini, 36 tahun, mengalami kecederaan parah selepas ditusuk ikan todak di bahagian dada pada hari Jumaat di perairan Ombak Bengbeng, berhampiran Pulau Masokut di Kepulauan Mentawai, lapor agensi berita Indonesia, Antara.
Pemangku Ketua Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Kepulauan Mentawai, Lahmudin Siregar, yang dipetik oleh Antara, berkata bahawa secara tiba-tiba, seekor ikan todak menerpa ke arah Manfrini dan menusuk bahagian dadanya.
“Maklumat yang kami terima mengesahkan bahawa memang berlaku kecelakaan apabila seorang wanita dari Itali sedang meluncur ombak di sekitar perairan Mentawai di Sumatera Barat,” tambahnya.
Kemalangan berlaku ketika Manfrini sedang berburu ombak di Perairan Ombak Bengbeng, Pulau Masokut, di mana tanpa diduga, seekor ikan todak melompat ke arah Manfrini dan menusuk tepat di bahagian dada semasa beliau berselancar, kata sumber ketika dihubungi pada hari Jumaat lalu.
Menurut maklumat dari polis di Siberut, mangsa sempat meminta pertolongan dengan melambaikan tangan kepada dua saksi, Alexandre Ribas dan Massimo Ferro.
Kedua-dua saksi dengan cepat memberikan pertolongan pertama dan membawa mangsa ke Puskemas Pei Pei Pasakiat Taileleu, namun nyawanya tidak dapat diselamatkan.
Laporan perubatannya menunjukkan bahawa mangsa mengalami luka sedalam 5 sentimeter di bahagian atas dada sebelah kiri, serta menunjukkan tanda-tanda lemas.
Mayat Manfrini telah dipindahkan ke Padang dan akan dibawa pulang ke Itali, menurut laporan ABC News Australia pada hari Isnin.
Agensi berita 9News, yang memetik kenyataan sebuah resort tempatan, melaporkan pada hari Selasa bahawa ikan tersebut adalah spesies ikan todak.
Kematian Manfrini diratapi oleh datuk bandar kampung halaman beliau di Venaria Reale, melalui catatan di Facebook pada hari Sabtu lalu.
“Berita kematian beliau mengejutkan kami dan membuatkan kami berasa tidak berdaya berdepan dengan tragedi yang meragut nyawanya begitu awal,” tulis Fabio Giulivi Sindacoe, yang turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan Manfrini.