Pelanggan bersama bayi nyaris dihempap siling bazar runtuh. Genap setahun laporan Utusan Malaysia berkenaan masalah yang dihadapi para peniaga Bazar Kraftangan di Dataran Pahlawan di sini yang berdepan masalah saluran pembentungan sejak 17 tahun lalu, semalam tragedi siling runtuh pula menimpa mereka.
Dakwa peniaga, sikap tidak ambil peduli pihak pengurusan terhadap keluhan mereka menjadi punca siling bazar berkenaan tiba-tiba runtuh dalam kejadian kira-kira pukul 10.08 malam tadi.
Runtuhan itu nyaris menimpa seorang pelanggan bersama bayinya yang hanya beberapa saat meninggalkan lokasi nahas, manakala seorang pekerja kedai pula sempat menyelamatkan diri sejurus kejadian.
Tragedi tersebut berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 16 saat yang turut tular dalam laman sosial Facebook.
Menceritakan detik cemas itu, pekerja kedai, Mustapa Simon Ftheseira, 45, berkata, dia terdengar bunyi pelik di atas siling sewaktu sedang melayan seorang pelanggan yang datang bersama bayinya.
“Selepas pelanggan meninggalkan kedai, bunyi semakin kuat dan secara tiba-tiba siling runtuh, mujurlah saya sempat menyelamatkan diri. Siling yang runtuh itu menimpa beberapa barangan di kedai dan ini merupakan kejadian pertama berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Pada 9 Disember 2021, Utusan Malaysia melaporkan, bau busuk, jijik dan memalukan yang dihadapi para peniaga Bazar Kraftangan di Dataran Pahlawan dipandang sepi pihak berwajib, meskipun aduan telah dibuat kepada badan pengurusan bersama (JMB) dan pihak pemaju.
Pengerusi Kebajikan Peniaga Heritage Gallery, Kadir Ahmad, 45, berkata, kegagalan pam yang sudah uzur menyebabkan saluran tersumbat dan air kumbahan naik ke permukaan sehingga membanjiri seluruh kawasan bazar.
Dalam pada itu, seorang pemilik, Abdul Rahim Embi, 55, berkata, kejadian siling runtuh itu sememangnya berpunca daripada kebocoran saluran paip pembentungan yang tidak pernah diambil peduli oleh pihak pengurusan.
“Mujur juga seorang pelanggan dan bayinya baru beberapa saat keluar selepas membeli di kedai saya, jika tidak sudah tentu mereka ditimpa siling berkenaan.
“Saya naik rimas dengan sikap pengurusan, sudah banyak kali aduan dibuat tetapi mereka langsung tidak ambil peduli. Kami semua dianaktirikan oleh pihak pengurusan.
“Kalau boleh saya minta kerjasama daripada pihak pengurusan, pantaulah tempat ini sebaik mungkin. Kami berniaga di sini kerana hendak cari makan dan kami bukan orang senang pun,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Khairuddin Atan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu berkata, semua peniaga dibenarkan beroperasi seperti biasa memandangkan keadaan tidak membimbangkan.
“Pemantauan berterusan akan dilakukan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan bomba bagi memastikan tidak berlaku kejadian berulang,” katanya ketika hadir melakukan pemeriksaan.
Allahuakbar.Nasib Baik Allah Panjangkan Umur Pakcik , Sikit lagi Pakcik Kena Hempap dengan Syiling Kedai. 😢 Kejadian Berlaku Hari Ini.
Lokasi di DP Melaka.
Kiriman dari Fitri🎥 pic.twitter.com/Z88a7u3XAH— nan manjoi8715 (@nanmanjoi8715) December 12, 2022