Pelakon suara Doraemon meninggal dunia. Nobuyo Oyama, pemilik suara bagi siri anime yang disukai ramai di seluruh dunia, Doraemon, telah meninggal dunia pada usia 90 tahun, menurut kenyataan agensinya hari ini, seperti yang dilaporkan oleh saluran berita CNN.
Agensi 7 Actors mengumumkan bahawa Oyama telah meninggal dunia pada 29 September lalu akibat sakit tua.
Agensi tersebut memohon maaf kerana mengumumkan kematian Oyama dengan lewat.
“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih atas kebaikan yang anda berikan kepada mendiang semasa hayatnya,” demikian menurut kenyataan dari 7 Actors.
Agensi itu juga menyatakan bahawa satu majlis pengebumian tertutup telah diadakan untuk Oyama dan dihadiri oleh saudara-maranya.
Oyama dikenali ramai kerana meminjamkan suaranya kepada karakter kegemaran ramai dalam siri televisyen Doraemon.
Siri televisyen tersebut ditayangkan dari tahun 1975 hingga 2005 dan menjadi popular di seluruh dunia, terutamanya di pasaran serantau seperti Hong Kong dan Vietnam.
Francais Doraemon merangkumi puluhan filem animasi, permainan video, album muzik, dan siri komik manga.
Penonton menghayati kisah pengembaraan Doraemon, iaitu robot kucing dari abad ke-22 yang datang ke zaman sekarang untuk membantu seorang budak lelaki bernama Nobita yang kurang berbakat dalam pelbagai perkara.
Karakter berwarna biru dan putih itu sering menyelamatkan Nobita dengan mengeluarkan gajet canggih dari masa depan yang tersimpan di dalam poket berbilang dimensi pada perutnya.