Pelajar UiTM kena kecam dengan netizen sebab niaga jual ayam goreng. Bekerja sambil menuntut ilmu bukanlah perkara baru bagi pelajar atau mahasiswa.
Kebanyakan dari mereka yang menjalankan kerja sambil belajar biasanya terlibat dalam perniagaan sendiri atau membantu ibu bapa mencari rezeki melalui berniaga.
Yasmin Qamarina Hilmi, 21 tahun, berkongsi kisahnya di laman TikTok yang mengejutkan beliau apabila dikritik ketika sedang membantu ibu bapanya menguruskan gerai ayam goreng semasa melakukan siaran langsung (live).
“Kat UiTM bukan main pakai style, model sana sini padahal jual ayam je,” demikian komen seorang netizen.
Walaupun dicerca, gadis tersebut nampaknya tidak terganggu atau marah terhadap netizen tersebut. Sebaliknya, dia sempat menitipkan doa untuknya.
“Awak nampak saya hanya cantik saja kan, tetapi awak tidak tahu apa yang saya alami.
“Untuk awak yang berkata begitu, terima kasih ya. Saya berharap awak berjaya dalam segala bidang daripada hanya menjual ayam,” tulis gadis itu dalam video yang dimuat naik.
Apabila dihubungi, gadis tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Yasmin, berkata dia tidak merasa malu sedikit pun kerana bekerja di gerai ayam goreng yang dimiliki oleh ibu bapanya di Kuala Lumpur.
Tambahan pula, dia sangat bersyukur kerana dapat membantu mereka mencari rezeki halal sementara masih dalam pengajian.
Menurut Yasmin, bapanya mula terlibat dalam perniagaan pada tahun 2015 atas minat yang mendalam.
“Dulu ayah saya bekerja dalam bidang pemasaran tetapi dia memang minat berniaga.
“Jadi pada masa itu, ayah saya mula berniaga ayam di Tasik Darulaman, Jitra, Kedah.
“Namun, kami kemudian berpindah berniaga ke Kuala Lumpur semasa pandemik Covid-19 kerana itulah satu-satunya sumber pendapatan keluarga,” jelas pelajar dari UiTM Puncak Alam, Selangor ini.
Tambah Yasmin, dia telah membantu ibu bapanya sejak berumur 12 tahun hingga kini, sementara dia terus melanjutkan pengajian untuk ijazah sarjana muda.
Jelasnya, dia akan pulang setiap hujung minggu dan cuti semester untuk membantu ibu bapanya.
Meskipun mengakui bahawa belajar dan menjalani rutin mingguan itu meletihkan, gadis kelahiran Kedah ini tidak pernah mengeluh dengan situasi yang sedang dihadapinya.
“Penat tu memang ada, kadang-kadang rasa nak give up juga tapi kena teruskan sebab saya masih dalam proses belajar.
“Tapi dengan duit saku ini, saya boleh beli barang keperluan saya.
“Untuk yuran, saya belum pernah membuat pinjaman. Saya hanya mendapat dermasiswa dan bantuan zakat,” katanya.
“Saya memang tak mahu menyusahkan ibu bapa, saya gunakan duit sendiri sahaja,” katanya.
Tambah anak bongsu dalam keluarga yang mempunyai dua orang adik-beradik ini, memiliki wang sendiri juga memberi kebebasan kepadanya untuk berbelanja mengikut minatnya dalam fesyen.
“Bila saya melihat perempuan lain cantik-cantik, saya juga terikut-ikut dan mula mengenakan pakaian yang menarik.
“Saya juga cuba untuk menjadi model kerana saya berminat dalam bidang fesyen dan kecantikan,” jelas Yasmin.
Walaupun begitu, Yasmin tetap berazam untuk mengejar cita-citanya dan menamatkan pengajian dalam jurusan Pengajian Pengurusan Teknologi Perniagaan.
“Jika saya mendapat tawaran kerja yang baik, mungkin ibu bapa saya boleh berhenti bekerja dan tidak perlu bersusah payah lagi,” katanya.
@rinadg4fbersyukur walaupun berniaga ayam since sekolah rendah smpai degree ni, ulang alik dari uitm balik rumah untuk tolong family, mybe awak takrasa apa yang saya rasa, awak nampak yang saya post melawa je kan tp awak tkthu apa yg saya lalui 😇, untuk awak yang ckp tu terima kasih la ye cakap mcm tu semoga awak maju jaya dari penjual ayam ni 😇🥰