Pelajar Kristian direjam sampai mati, dituduh hina Nabi Muhammad

Pelajar Kristian direjam sampai mati, dituduh hina Nabi Muhammad

Pelajar Kristian direjam sampai mati, dituduh hina Nabi Muhammad.

Sekumpulan perusuh terdiri daripada pelajar kolej di bandar Sokoto yang terletak di barat laut Nigeria merejam seorang pelajar Kristian hingga mati dan membakar mayatnya selepas menuduh mangsa menghina Nabi Muhammad, kata polis.

Puluhan pelajar beragama Islam Kolej Pendidikan Shehu Shagari merusuh selepas seorang pelajar beragama Kristian, Deborah Samuel membuat kenyataan di media sosial yang dianggap menghina Nabi Muhammad, kata jurucakap polis Sokoto, Sanusi Abubakar dalam sebuah kenyataan.

“Pelajar mengeluarkan mangsa secara paksa dari bilik keselamatan di mana dia disembunyikan oleh pihak berkuasa kolej, kemudian membunuhnya dan membakar bangunan itu”, kata Abubakar.

Beliau berkata pelajar yang merusuh itu turut menyekat jalan raya di luar kawasan kolej sebelum pasukan polis menyuraikan mereka.

Abubakar berkata dua suspek telah ditahan berhubung kejadian itu.

Pelajar Kristian direjam sampai mati, dituduh hina Nabi Muhammad

Sokoto adalah antara negeri di kawasan utara negara itu yang menerapkan sistem perundangan Islam atau syariah.

Pesuruhjaya maklumat Sokoto, Isah Bajini Galadanci dalam satu kenyataan turut mengesahkan “kejadian malang, di mana seorang pelajar di kolej itu terkorban”.

Seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Babangida, menuduh mangsa telah menyiarkan “kenyataan yang menyinggung perasaan pelajar lain, kumpulan WhatsApp yang dilihat semua orang”.

Dia berkata “pelajar Islam di kolej itu marah dengan penghinaannya sehingga mereka menggerakkan orang ramai dan memukulnya sehingga mati”.

Apa yang dikatakan Babangida tersebut turut dipersetujui tiga pelajar lain.

Video klip kejadian rusuhan itu turut dikongsi di media sosial, di mana rakaman menunjukkan mangsa yang berpakaian merah jambu terbaring di antara timbunan batu.

Rakaman turut menunjukkan kumpulan perusuh memukul tubuh mangsa sambil melemparkan kata-kata penghinaan terhadapnya.

Mereka seterusnya mengumpulkan tayar di atas tubuh mangsa dan membakarnya dengan sorakan “Allahu Akbar” (Allah Maha Besar).

Polis berkata semua suspek yang dikenal pasti dalam video klip itu akan ditahan.

Kerajaan negeri telah mengarahkan penutupan serta-merta sekolah itu bagi menjalankan siasatan punca awal kejadian.

Penghinaan terhadap Nabi di bawah undang-undang syariah Sakoto boleh mengundang hukuman mati di mana ia dilaksanakan bersama undang-undang sivil di rantau ini.

Pada 2015 dan 2020, mahkamah syariahnya memutuskan hukuman mati terhadap dua orang penganut Islam kerana didakwa menghina Nabi.

Kes tersebut masih dalam proses rayuan.

Pelajar Kristian direjam sampai mati, dituduh hina Nabi Muhammad

Uskup Kristian mengetuai perarakan di Abuja semasa acara berdoa dan penebusan dosa bagi keamanan dan keselamatan di Nigeria pada 1 Mac 2020.

Dalam banyak kes, tertuduh akan dibunuh oleh kumpulan perusuh tanpa melalui proses undang-undang.

Tahun lalu, kumpulan perusuh di daerah Darazo di timur laut Bauchi membakar seorang lelaki sehingga mati kerana dituduh menghina Nabi.

Pada 2016, seorang peniaga beragama Kristian, Bridget Agbahime berusia 74 tahun telah dipukul hingga mati oleh perusuh di luar kedainya di Kano selepas dituduh tuduhan yang sama.

Pada 2007, seorang guru Kritian di sebuah sekolah menengah yang majoritinya beragama Islam di Gombe turut dibunuh oleh pelajarnya sendiri dan mayatnya dibakar selepas mereka menuduh mangsa menghina Al-Quran.

Pada 1996, kumpulan perusuh Islam memanjat dinding penjara Kano dan membunuh seorang Kristian, Gideon Akaluka yang dituduh menghina Al-Quran.

Mereka kemudiannya mempamerkan kepala mangsa yang dipenggal dengan perarakan di seluruh bandar itu.

Baca Lagi:

Malaysia bakal jadi seperti Filipina jika perasuah didewakan

Cinta berputik di sawah padi, warga emas tersenyum tanpa henti nikah janda berumur 19 tahun

Dua individu bertuah dari Sabah menang Toto jackpot bernilai RM 21.8 Juta

CATEGORIES
TAGS