Pelajar datang seorang diri daftar masuk belajar sebab ibu bapa tak cukup duit

Photo of author

By Joe

Pelajar datang seorang diri daftar masuk belajar sebab ibu bapa tak cukup duit. “Saya tidak melihat kekurangan yang ada, tetapi saya melihat kekuatan semangatnya yang sanggup datang dari jauh seorang diri untuk menuntut ilmu,” kata Mohd Zaidil Adha Mat Hussin, pensyarah di Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Politeknik Balik Pulau (PBU).

Hantaran Mohd Zaidil Adha, 46, yang juga Pegawai Hal Ehwal Pelajar (Pengambilan dan Data) di Facebook (FB) kelmarin telah mencuri perhatian warganet selepas beliau berkongsi pengalamannya membantu penuntut baharu PBU, Lim Zi Yang, 18, yang datang tanpa ditemani ibu bapa untuk mendaftar dalam pengajian Diploma Teknologi Maklumat.

Bercerita lanjut, Mohd Zaidil Adha berkata, dia cuba membantu Lim selepas dihubungi bapa penuntut berkenaan pada Jumaat lalu yang memohon kebenaran supaya anaknya dimasukkan ke asrama lebih awal walaupun tarikh pendaftaran pada kelmarin.

Pelajar datang seorang diri daftar masuk belajar sebab ibu bapa tak cukup duit

Menurut Mohd Zaidil Adha, dalam perbualan telefon, bapa Lim memberitahu bahawa anaknya terpaksa bertolak awal pada Jumaat dari Batu Pahat, Johor ke Pulau Pinang kerana tiket bas pada Sabtu sudah habis.

“Saya bertanya kepada ayah Lim mengapa tidak ikut bersama, dan jawabnya adalah kerana kekurangan wang.
“Apabila mendengar jawapan itu, saya sudah mula rasa kasihan, jadi saya beritahu pihak pengurusan untuk memproses permohonan kemasukan awal ke asrama dan bersedia menjemput Lim di perhentian bas Balik Pulau pada pagi Sabtu.

“Belum sempat menjemput Lim, dia sudah tiba di depan perpustakaan, tetapi masalah timbul apabila beg yang mengandungi pakaian dan dokumen penting tertukar dengan orang lain.

“Keadaan ini menyebabkan saya perlu membawa Lim balik ke Terminal Bas Sungai Nibong sebelum ke Terminal Bas Penang Sentral untuk membuat tuntutan beg,” katanya.

Sepanjang perjalanan pergi dan pulang dari terminal bas, Mohd Zaidil Adha dapat melihat sikap Lim yang patuh kepada bapanya.

Pada masa yang sama, Mohd Zaidil Adha juga nampak keberanian Lim kerana berani datang menaiki bas sendirian walaupun belum pernah menjejakkan kaki ke Pulau Pinang.

“Waktu dalam kereta, saya nampak Lim mengambil gambar Jambatan Pulau Pinang dan mengirimkannya kepada bapanya.

“Sebelum pulang, selepas saya membawanya membeli barang keperluan di sebuah pasar raya, dia juga meminta saya singgah ke kedai ubat Cina untuk membeli minuman dan ubat seperti yang diminta bapanya.”

“Jadi, saya nampak dia anak yang patuh, malah semangatnya juga jelas apabila Lim memberitahu saya bahawa dia enggan berhenti belajar kerana dia adalah anak tunggal dan menjadi harapan keluarga,” katanya.

Mengenai perkongsiannya di Facebook, Mohd Zaidil Adha tidak menyangka ia akan tular kerana niatnya hanya untuk berkongsi kisah dan pengalamannya.

“Alhamdulillah, saya membaca komen-komen yang positif dan ramai yang mengucapkan tahniah kepada Lim serta mengharapkan kejayaannya pada masa depan.

“Ada juga komen yang menyatakan apa yang saya lakukan adalah apa yang Malaysia mahukan kerana ia menunjukkan semangat perpaduan.

“Hakikatnya, saya membantu tanpa mengira perbezaan kaum, agama, atau bangsa. Mana-mana penuntut yang memerlukan bantuan saya akan bantu, dan saya juga sering mendengar luahan serta perkongsian ibu bapa mengenai masalah anak mereka.

“Cuma kebetulan, kisah Lim mendapat perhatian mungkin kerana saya dan dia berlainan bangsa. Selain itu, apa yang menarik adalah Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Datuk Dr Mohd Zahari Ismail, juga datang bertemu dengan Lim ketika sesi pendaftaran penuntut baru kelmarin,” katanya.

Baca Lagi:
Ramai yang tak tahu ikan lumba-lumba ada di Malaysia
Apa sudah jadi? KLIA dulu airport ke-9 terbaik di dunia, sekarang berada paling bawah
Ajal ketika curi kabel, 2 remaja maut terperangkap dalam lubang pembentung depan sekolah