Pecah rumah nak mencuri, tapi tertidur di ruang tamu sebab mabuk. Seorang penjenayah tertidur akibat terlalu mabuk selepas minum minuman keras milik penghuni rumah yang dipecah masuk di Taman Tanjung, Bahau, Jempol, semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata penghuni yang juga pengadu berusia 65 tahun terkejut apabila melihat suspek sedang tidur di ruang tamu rumahnya ketika bangun daripada tidur pada jam 6.15 pagi, semalam.
Katanya, pengadu melihat ada beg kertas yang mengandungi dua pisau, pemutar skru, dua botol minuman keras dan sebuah tablet berada bersebelahan suspek dipercayai digunakan untuk memecah masuk rumahnya.
“Pengadu syak kesemua barangan itu adalah miliknya namun tidak sempat dibawa lari, berikutan suspek mabuk dan kemudian tertidur.
“Suspek berusia 41 tahun kemudian berjaya ditangkap selepas pengadu menghubungi polis dan semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai 15 rekod dadah, enam jenayah dan satu rekod dikehendaki berkaitan kes dadah,” katanya dalam satu kenyataan.
Chang Hook berkata, ketika rumahnya dimasuki suspek, pengadu tinggal bersama isteri dan empat anak.
“Suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, “katanya.