PDRM guna kereta Proton S70 sebagai kenderaan rasmi buat ramai rasa bangga. Seperti yang diketahui ramai, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai pelbagai jenis kenderaan untuk memperkasakan badan kerajaan itu.
Semasa majlis istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 baru-baru ini, sebuah Proton S70 yang dipercantik dengan livery PDRM terlihat mengiringi Perdana Menteri memasuki perkarangan Istana Negara.
Kereta sedan itu mempunyai tulisan polis pada bonet hadapan, bahagian belakang, serta kanan dan kiri pintu hadapan. Manakala bumbung pula dilengkapi dengan strobe light.
Menurut orang ramai, mereka rasa berbangga kerana PDRM menggunakan kenderaan tempatan sebagai kenderaan rasmi.
“Kan bangga tunjuk nasional,” ujar salah seorang netizen.
Selain Proton S70, Polis Malaysia juga menggunakan model kereta tempatan lain seperti Perodua Myvi, hasil daripada kerjasama antara Perodua dan PDRM.
Pada masa yang sama, Perodua Ativa juga turut digunakan sebagai kereta rasmi bagi badan penguatkuasa tersebut.
Kedua-dua model ini digunakan di kawasan-kawasan daerah tertentu sahaja.
Pada tahun 2021, orang ramai dikejutkan dengan kehadiran kereta polis BMW M3.
Walau bagaimanapun, kereta tersebut bukanlah kereta rasmi, tetapi dipinjamkan untuk satu tempoh bagi tujuan ujian pemanduan.
Selain BMW M3, dua unit BMW X3 dan dua unit Volkswagen Tiguan juga dipinjamkan untuk tujuan yang sama.